Thursday 21 April 2011

PELUANG kali kedua (2011/04/22)

PELUANG kali kedua yang diberikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menyarung jersi kebangsaan tidak akan dipersia-siakan begitu saja pemain perejam kebangsaan, Norshahruddin Mad Ghani terutamanya untuk menamatkan kemarau pingat emas di Sukan Sea penghujung tahun ini.
Atlet berusia 24 tahun kelahiran Selangor itu bertekad untuk memberikan aksi terbaik selepas terpilih menjadi salah seorang pemain yang dikekalkan daripada skuad kebangsaan yang gagal memenangi pingat emas pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

“Saya memang mengharapkan peluang ini selepas hanya memenangi pingat perak pada temasya di China itu dan mahu memberikan aksi terbaik untuk menebus aib negara terutamanya di pentas Sukan Sea di Indonesia pada November ini,” kata pemain apit kanan itu.
Dia percaya kehadirannya bersama beberapa pemain daripada skuad Sukan Asia 2010 itu yang digandingkan bersama sejumlah muka baru termasuk sentuhan ketua jurulatih yang baru, Jamaluddin Hassan yang dibantu Iskandar Arshad dan Ahmad Jais Baharom mampu untuk merealisasikan impian itu.

“Kehadiran dua perunding dari Thailand juga mungkin boleh membantu dengan memberikan petua yang baru untuk menambahkan kemahiran dan keupayaan kami. Malah ketika hari pertama latihan kami diajar cara mengawal bola secara individu, sesuatu yang tidak pernah diamalkan sebelum ini.

“Namun apa yang penting pada kali ini kali perlu lebih agresif di dalam permainan untuk membolehkan kami mengatasi Thailand,” katanya yang turut membantu Selangor menjuarai Piala Emas Khir Johari yang berlangsung di Sarawak pada penghujung bulan lalu.
Selain Sukan Sea yang dijadualkan berlangsung pada November, skuad kebangsaan dijangka bertembung dengan Thailand pada Piala Dunia Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) di Kuala Lumpur pada Julai nanti.

No comments:

Post a Comment