Thursday 21 April 2011

Misbun terlepas (2011/04/22)

PENGORBANAN demi negara tercinta yang dilakukan Datuk Misbun Sidek sekiranya menerima tawaran sebagai jurulatih pelapis kebangsaan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin menyebabkan namanya tidak menjadi sanjungan andai Datuk Lee Chong Wei berjaya meraih pingat emas di Sukan Olimpik London tahun depan.
Bukan itu saja, Misbun juga terlepas peluang menerima insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) biarpun selama ini beliau berjaya membentuk Chong Wei sebagai jaguh badminton yang paling dicemburui dengan mempertahankan kedudukan nombor satu dunia selama tiga tahun.

Ketika diminta menjelaskan persoalan ini, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata sememangnya hanya jurulatih kepada pemain yang meraih kejayaan sama ada pingat emas, perak atau gangsa akan mendapat insentif sebanyak 20 peratus daripada insentif yang diperoleh pemain.
“Memang sekiranya ada atlit yang memenangi pingat di Sukan Sea, Asia dan Olimpik, jurulatih mereka juga akan menerima insentif daripada MSN,” kata Zolkples.

“Tapi dalam soal Misbun ini, terpulang kepada BAM sama ada mahu mengagihkannya dengan Tey Seu Bock, Misbun dan Rashid Sidek atau hanya kepada seorang jurulatih. Saya faham, adalah tidak adil jika jurulatih baru Chong Wei menerima sepenuhnya insentif ini selepas hanya melatih pemain tidak sampai setahun.

“Ada beberapa situasi dalam pemberian insentif kemenangan kepada jurulatih. Ada persatuan meminta kami membayar menerusi persatuan kerana mahu mengagihkan kepada beberapa jurulatih yang membantu seseorang atlit, ada juga yang membenarkan kami membayar terus ke akaun jurulatih terbabit,” katanya.
Zolkples turut menjelaskan situasi yang menyebabkan seseorang jurulatih tidak layak menerima insentif.

“Bukan semua jurulatih berhak mendapat insentif Shakam. Contohnya jurulatih asing yang melatih ramai pemain seperti Liz Irving yang melatih Datuk Nicol David. Selain Nicol, beliau juga melatih pemain ternama dunia lain seperti Rachel Grinham.

“Namun dalam kes jurulatih berbasikal negara John Beasley, ada pendekatan berbeza kerana beliau hanya melatih pelumba negara.” Selepas kejayaan Chong Wei memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2008, pemain itu memperoleh insentif sebanyak RM300,000. Hasil kejayaan anak didiknya itu, Misbun menerima insentif sebanyak RM60,000.

Jika Chong Wei menang emas di London tahun depan, pemain itu bakal menerima insentif sebanyak RM1 juta yang akan membolehkan jurulatihnya menikmati insentif bernilai RM200,000.

No comments:

Post a Comment