Thursday 28 April 2011

RM565,000 setahun (2011/04/28)

SEJUMLAH RM565,000 setahun akan disediakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sebagai pemberian biasiswa khas kepada setiap pelajar sekolah sukan dan atlit SUKMA di semua sekolah di negeri berkenaan. 

Ia diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk menunjukkan komitmen kerajaan negeri selepas kontinjen dari Pantai Timur itu menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) dua kali berturut-turut sejak 2008.


“Pemberian biasiswa ini adalah tanda pengiktirafan kerajaan negeri terhadap kecemerlangan atlit negeri dalam bidang sukan dan kita harap dengan ini kita akan terus mengekalkan dominasi dalam pelbagai bidang sukan terutama dalam SUKMA,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, semalam.
Pemberian biasiswa berjumlah RM60 setiap bulan kepada 690 pelajar yang sebahagian besarnya belajar di Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu dan atlit SUKMA di pelbagai sekolah di seluruh negeri akan mula disalurkan mulai Jun ini. 

Ahmad Said menjelaskan peruntukan RM565,000 setahun itu akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada bajet negeri. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah. 

Terengganu menjadi juara SUKMA pada 2008 di Terengganu dan 2010 di Melaka. Pada 2008, Terengganu mengejutkan peminat sukan tempatan apabila muncul juara dengan memperoleh 61 emas, 39 Perak dan 47 gangsa manakala di Melaka, pasukan negeri ini meraih keseluruhan 120 pingat - emas (47), perak (30) dan gangsa (43).

No comments:

Post a Comment