Thursday 21 April 2011

Tarik diri kerana kecederaan (2011/04/22)

BARCELONA: Pemain pilihan ketiga Andy Murray menarik diri daripada Terbuka Barcelona kelmarin untuk membolehkan kecederaan siku kanannya pada minggu lalu pulih sepenuhnya untuk menghadapi saingan Roland Garros.
“Atas nasihat doktor saya terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu kerana kecederaan siku. Saya akan berehat antara empat hingga lima hari,” kata pemain Scotland itu yang menguji masalahnya di Real Club de Tenis beberapa jam namun tidak banyak perubahan.

Kecergasan pemain itu menjadi persoalan apabila dia cuba untuk melakukan servis selepas 72 jam mengambil suntikan penahan sakit bagi membolehkan dia beraksi pada separuh akhir Monte Carlo Masters menentang Rafael Nadal.
Murray kini berharap untuk cergas pada kejohanan Masters di Madrid dan Rome sebelum Terbuka Perancis pada 22 Mei. Pemain Jerman, Mischa Zverev menggantikannya pada aksi di gelanggang Sepanyol itu.

Pada perlawanan itu, pemain pilihan kesembilan dari Perancis, Richard Gasquet menempah tiket ke pusingan kedua dengan kemenangan 2-6, 7-6 (7/2), 6-4 menewaskan Juan Ignacio Chela.

Rakan senegara, Gael Monfils yang juga pilihan ketujuh mara ke pusingan ketiga selepas mendapat bye, mengambil masa dua jam menewaskan pemain Belanda, Robin Haase 3-6, 7-6 (7/3), 6-2.
Pemain sensasi pilihan ke-15 dari Kanada, Milos Raonic menjinakkan pemain Republik Czech, Radek Stepanek 6-4, 6-2 pada penampilan pertamanya di Barcelona untuk mara ke pusingan kedua.

Gasquet yang menjadi mangsa pusingan ketiga di Monte Carlo menentang Nadal memerlukan lebih dua jam setengah untuk menyingkirkan lawan dari Argentina itu untuk mengatasi enam kesalahan berganda berpotensi dilakukannya menentang Chela.

No comments:

Post a Comment