Thursday 21 April 2011

Rasa kurang puas hati (2011/04/22)

KELEBIHAN empat mata untuk menerajui takhta Liga Super selepas tamat pusingan pertama nyata melegakan pengendali Selangor, K Devan yang melihat juara bertahan itu kini berada di landasan tepat.
Namun terselit juga rasa kurang puas hati jurulatih berusia 50 tahun itu apabila menyaksikan skuad Merah Kuning tewas dua kali dan seri di gelanggang sendiri sebelum ini sekali gus mensia-siakan peluang mengumpul mata maksimum.

“Rugi apabila gagal mengutip mata penuh di tempat sendiri. Namun keseluruhan saya tetap positif berpandukan kedudukan mata pasukan lain terutama Terengganu di tempat kedua, ketinggalan empat mata,” katanya.
Menurut Devan yang juga pengurus pasukan, beliau sudah mengingatkan pemain Selangor agar terus mengekalkan prestasi pada pusingan kedua yang bermula Sabtu ini sekiranya mahu mencapai kejayaan.

“Jurang empat mata belum selamat. Kami perlu menambah satu atau dua mata lagi bagi membolehkan Selangor tidak tertekan selepas ini dan apabila ia berlaku (kelebihan lima atau enam mata) pasukan lain yang sedang mengejar akan lebih tertekan.

“Kami tidak boleh lagi keciciran mata dengan mudah pada pada pusingan kedua kerana terpaksa bermain lapan perlawanan di gelanggang lawan dengan hanya lima aksi di Stadium Shah Alam,” katanya.
Devan juga akan meneruskan sistem penggiliran pemain bagi mengelakkan keletihan dan kecederaan yang mungkin menjejaskan persembahan serta mempengaruhi keputusan perlawanan berikutan jadual padat yang terpaksa diharungi sejak awal bulan ini.

Selepas menewaskan Sabah 1-0 pada aksi terakhir pusingan pertama kelmarin yang juga kemenangan kesembilan, Selangor memulakan cabaran pusingan kedua dengan sekali lagi bertemu skuad bimbingan jurulatih Gary Phillips itu di Stadium Likas dengan misi meraih tiga mata.

“Hanya kemenangan dapat memuaskan hati saya kerana keputusan seri bakal memberikan kesan kepada pasukan pada penghujung musim. Saya harap pemain dapat memberikan fokus penuh untuk meneruskan rentak kemenangan yang diraih sejak tiga perlawanan lalu,” katanya

No comments:

Post a Comment