Tuesday 26 April 2011

Pengendali baru Singa Utara (2011/04/26)

PENGENDALI import dari Hungary, Janos Krecska dilantik selaku ketua jurulatih baru Perlis berkuat kuasa, hari ini menggantikan Mosthakeen Omar yang melepaskan jawatannya 1 Mac lalu bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini. 

Pengendali berusia 46 tahun itu pernah melatih KL PLUS pada aksi Liga Perdana, musim lalu dan menjadi pilihan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim selepas usaha mendapatkan khidmat beberapa jurulatih tempatan menemui jalan buntu.


Pengurus pasukan Perlis, Azhar Ahmad yang mengesahkan pelantikan itu berkata perbincangan dengan Krecska sudah dipersetujui dan majlis menandatangani kontrak mungkin akan diadakan awal Mei ini.
“Pada dasarnya pengurusan pasukan dengan restu Presiden PFA memutus menerima Janos sebagai ketua jurulatih baru menghadapi baki saingan Liga Malaysia dan dia sendiri (Krecska) sudah memberi persetujuan menerima jawatan itu,” kata Azhar, semalam. 

Perlis dibimbing pengendali sementara, Salim Tofel Mohamad selepas Mosthakeen melepaskan jawatannya dan antara jurulatih baru yang cuba dilamar termasuk Wan Jamak Wan Hassan yang kini melatih Kedah. 

Azhar mengesahkan Krecska akan bersama pasukan apabila Perlis menentang Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Utama Negeri, malam ini. 

Dalam pada itu, Azhar mengesahkan pasukan itu berdepan dilema apabila tiga tonggaknya - Mohd Hairol Fazreen Abu Hassan (penjaga gol), Mohd Farizal Rozali (tengah) dan penyerang, Samransak Kram - memerlukan rehat panjang untuk pulih daripada kecederaan masing-masing.

No comments:

Post a Comment