Thursday 21 April 2011

Tidak mahu dabik dada (2011/04/22)

ANDAI menilai prestasi skuad hoki negara pada tiga perlawanan persahabatan menentang skuad Projek 2013 baru-baru ini, jurulatih skuad negara, Tai Beng Hai sepatutnya boleh mengukir senyuman dan menarik nafas lega menjelang saingan Piala Sultan Azlan Shah pada 5 hingga 15 Mei depan.
Apa tidaknya, sepanjang tiga perlawanan itu, skuad negara berjaya mencatatkan kemenangan dengan jumlah jaringan besar, 6-0 pada perlawanan pertama, 4-1 di perlawanan kedua serta 7-1 pada perlawanan terakhir.

Namun, Beng Hai nyata enggan terlalu dibuai perasaan gembira dengan persembahan anak buahnya itu sebaliknya tegas menyatakan ia hanyalah sekadar perlawanan persahabatan dengan objektif utama untuk mencari keserasian di kalangan barisan pemain menjelang saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.
“Bagi saya jumlah jaringan besar dicatat pada perlawanan persahabatan baru-baru ini tidak menunjukkan apa-apa implikasi.

“Sebaliknya, saya lebih menekankan usaha mencari kombinasi terbaik antara pemain supaya mereka dapat bermain dengan lebih terancang pada perlawanan sebenar,” katanya.

Begitupun, Beng Hai yang baru mengambil alih tugas jurulatih negara daripada Stephen Van Huizen tetap puas hati dengan persembahan bertenaga anak buahnya sepanjang tiga perlawanan persahabatan itu walaupun ada sedikit rasa bimbang pada sesi latihan sebelum ini.
“Saya fikir pada baki kira-kira dua minggu lagi sebelum bermulanya Piala Sultan Azlan Shah, kami akan mendapat rentak terbaik,” katanya.

Ditanya bilakah senarai akhir pemain akan diumum, Beng Hai menyatakan, perkara itu hanya akan diketahui selepas skuad negara mengadakan perlawanan persahabatan bertemu New Zealand pada 1 Mei ini serta Pakistan dua hari selepas itu.

No comments:

Post a Comment