Thursday 28 April 2011

United buru final (2011/04/28)

GELSENKIRCHEN: Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson gembira dengan kemenangan 2-0 skuadnya dalam saingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Schalke 04 awal pagi semalam dan mengakui skuadnya kini berdepan tempoh tujuh hari yang penting. 

United akan berdepan Arsenal Ahad ini dan satu lagi pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Chelsea pada hujung minggu depan selepas mereka mengharungi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Schalke di pertengahan minggu.


“Saya harap kami memperoleh satu keputusan positif dalam perlawanan menentang Arsenal Ahad ini dan dari situ, bergantung kepada keputusan perlawanan, saya mungkin akan melakukan tiga perubahan terhadap perlawanan separuh akhir kedua minggu depan kerana kami akan menentang Chelsea pula pada hujung minggu,” kata Ferguson.
“Ia adalah tempoh tujuh hari yang penting bagi kelab. Saya rasa kami sudah sampai ke kemuncak prestasi kami.” 

United di ambang mencatat rekod kejuaraan Liga Inggeris ke-19, kini mendahului enam mata di depan Chelsea dan sembilan mata mengatasi Arsenal dengan berbaki empat perlawanan. 

Selepas kemenangan menarik awal pagi semalam, mereka tampak seperti hampir pasti menempah tempat ke final Liga Juara-Juara, 28 Mei ini untuk menentang sama ada Barcelona atau Real Madrid. 

Penjaga gol Schalke, Manuel Neuer, yang dilaporkan menjadi sasaran United, banyak menyelamatkan cubaan juara tiga kali itu sebelum gol menerusi gerakan pantas Ryan Giggs dan Wayne Rooney membolehkan United mencatat kemenangan. 
Keputusan itu meletakkan skuad Ferguson dalam kedudukan kukuh untuk mara ke final menjelang saingan separuh akhir kedua di Old Trafford, apabila mereka memburu kemaraan ke final Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun. 

“Ia adalah persembahan yang sangat profesional malam ini,” kata Ferguson. 

“Tumpuan terhadap permainan, keupayaan serta hantaran bola semuanya bertaraf dunia. Mereka melakukan kesemuanya dengan begitu baik.” – AFP

No comments:

Post a Comment