Wednesday 27 April 2011

Cipta kejutan (2011/04/28)

BERNE: Villarreal menjadi pasukan tidak diundang dalam keraian Portugal ke separuh akhir Liga Europa tetapi wakil Sepanyol itu tiada niat untuk pulang awal tatkala mereka cuba mara ke final Eropah pertama dalam tiga percubaan.


Kelab Sepanyol itu yang tewas di separuh akhir Piala UEFA 2004 dan kalah lagi di peringkat sama saingan Liga Juara-Juara dua tahun kemudian, bertandang ke Porto dalam separuh akhir awal pagi esok, manakala Benfica menjadi tuan rumah kepada Braga dalam pertembungan sesama kelab Portugal.
Di bawah kendalian jurulatih, Manuel Pellegrini, yang kemudian menjadi jurulatih Real Madrid, Villarreal tewas 1-0 berdasarkan agregat kepada Valencia pada 2004 dan tewas dengan jaringan sama apabila menentang Arsenal dua tahun kemudian. 

Bagaimanapun, separuh akhir Liga Europa tampak seperti boleh menghasilkan banyak gol berdasarkan kemenangan besar Porto membelasah Spartak Moscow 10-3 di suku akhir dan Villarreal menewaskan Twente Enschede 8-2. 

Perlawanan itu juga menemukan dua penjaring Eropah paling prolifik berdepan sesama mereka. 

Penyerang Porto dari Colombia, Radamel Falcao adalah penjaring terbanyak Liga Europa dengan 11 gol, manakala penyerang Villarreal dari Itali, Giuseppe Rossi ketinggalan satu gol di belakangnya. 
Porto sudah dimahkotakan sebagai juara Portugal selepas mencatat 25 kemenangan dan seri dua daripada 27 perlawanan mereka setakat ini, meletakkan mereka 19 mata meninggalkan Benfica. 

Skuad Andre Villas-Boas itu juga cemerlang dalam saingan Eropah dengan mencatatkan 12 kemenangan dalam 14 penampilan, termasuk tujuh aksi di tempat lawan. 

“Saya rasa mereka adalah pilihan kerana mereka menang kejuaraan,” kata pemain tengah Villarreal, Bruno Soriano. 

“Kami perlu meningkatkan pertahanan kami dan tidak dibolosi banyak gol. Jika kami boleh melakukan seperti itu, kami akan mengambil langkah besar ke depan.” – Reuters

No comments:

Post a Comment