Wednesday 27 April 2011

Wolves derita akibat Stoke (2011/04/28)

STOKE: Langkahan bergaya finalis Piala FA, Stooke City berterusan apabila mereka memberi tamparan hebat terhadap usaha Wolves untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kemenangan 3-0, kelmarin.


Gol dari penyerang antarabangsa Trinidad, Kenwyne Jones, Ryan Shawcross dan Jermaine Pennant dengan mudah membenam Wolves, yang kini menduduki tangga kedua tercorot dan satu mata di bawah garisan selamat dengan berbaki empat perlawanan.
Tuan rumah mendahului selepas 15 minit permainan apabila Jones menanduk masuk hantaran lintang Pennant, yang menewaskan beberapa pemain di sebelah kanan padang. 

Jones, pembelian rekod Stoke Ogos lalu dengan nilai 8 juta pound, mensia-siakan peluang keemasan lapan minit kemudian apabila hantaran silang Shawcross disudahi dengan sepakan liar walaupun hanya berdepan penjaga gol, Wayne Hennessey. 

Namun Stoke juga membayar harga yang mahal dalam perlawanan itu apabila tonggak pada aksi final Piala FA, Matthew Etherington - pemain terbaik ketika mereka menewaskan Bolton di separuh akhir - terpaksa keluar padang selepas mengalami kecederaan hamstring. 

Kecederaan Etherington itu menjadi senarai baru selepas nasib sama dialami penyerang Ricardo Fuller (Achilles) dan pertahanan Danny Higginbotham (lutut), dan kedua-duanya dianggap tidak akan disenaraikan dalam final Piala FA bertemu Manchester City nanti. 
“Kecederaan Etherington adalah satu kekecewaan besar bagi kami. Kami tidak tahu seteruk mana hinggalah imbasan dibuat esok,” kata pengurus Stoke, Tony Pulis. 

“Tetapi kami akan mencuba sedaya upaya supaya dia dapat diturunkan kerana masih ada 17-18 hari lagi. Minggu pertama amat penting kerana kami akan cuba menyelesaikannya. 

“Kemudian ada 10 hari selepas itu untuk membuatkan dia cergas dan boleh bermain di final. 

“Selepas kehilangan Ricardo dan Danny, ini satu tamparan hebat kerana kami tidak mempunyai sumber mencukupi untuk berdepan Manchester City.” 

Stoke menambah gol sebelum rehat apabila Shawcross menewaskan Hennessey dari sepakan sudut sebelum Pennant menambah gol ketiga pada minit ke-51, dengan rembatan hasil hantaran Jon Walters. – AFP

No comments:

Post a Comment