Thursday 21 April 2011

Sasar satu pingat emas (2011/04/22)

PASUKAN Sepak Takraw Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (Maksak) Kelantan mensasarkan satu pingat emas pada Kejohanan Sepak Takraw Antara Pasukan dan Regu Veteran Maksak Malaysia 2011 di Ayer Keroh, Melaka, pada 21 hingga 24 April ini.
Pengurus pasukan negeri, Mohamed Zari Yaacob berkata, 17 pemain disenaraikan membawa cabaran membabitkan empat regu untuk acara berpasukan dan satu regu veteran pada kejohanan itu.

Katanya, Kelantan mempertaruhkan bekas pemain kebangsaan, diketuai bekas pemain tekong negeri, Tarmizi Ya, Rukman Mustapha selain pelapis kebangsaan, Mohd Faiz Ruslan dan Mohd Yusli Mat Jusoh. “Pada Kejohanan Sepak Takraw Maksak Kebangsaan di Negeri Sembilan tahun lalu, regu veteran mara ke suku akhir dan pasukan terkandas di peringkat kelayakan.
“Tahun ini, kami menyandarkan harapan kepada regu veteran untuk mengutip emas selain mengharapkan pasukan mempamerkan aksi lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya selepas menerima bendera Kelantan dan sumbangan jersi pasukan sepak takraw daripada kerajaan negeri di Kota Bharu, baru-baru ini.

Majlis penyerahan bendera Kelantan dan sumbangan jersi disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood.

Mohamed Zari berkata, pemain menjalani latihan di Pasir Mas sejak 7 April lalu di bawah bimbingan jurulatih negeri, Arrifin Mohamed.

No comments:

Post a Comment