Sunday 10 April 2011

Tok Gajah tumbang kerana hilang rentak



KEHILANGAN rentak pada separuh babak kedua meranapkan impian Pahang untuk merangkul tiga mata apabila tewas tipis, 1-2 ketika menentang Terengganu di Stadium Darul Makmur, di sini, kelmarin. 

Pengurusnya, Datuk Che Nasir Salleh berkata, beliau kecewa dengan aksi pemain dalam perlawanan itu biarpun Tok Gajah mendahului lawan, 1-0. 

Menurutnya, gol pendahuluan itu sepatutnya memberi lebih keyakinan tetapi aksi lebih buruk dipamerkan terutama pada babak kedua hingga membenarkan lawan memperoleh dua gol. 

“Memang saya akui sangat kecewa dengan mereka (pemain) kerana memberi banyak ruang kepada lawan sedangkan kemenangan menjadi keutamaan bagi mengukuhkan kedudukan liga. 

“Tapi, segalanya berubah dan kegagalan barisan pertahanan mengekang asakan lawan membolehkan Terengganu menjaringkan dua gol, malah membawa pulang tiga mata,” katanya. 

Pada perlawanan itu, Pahang sepatutnya bertambah yakin apabila menjaringkan gol pendahuluan seawal minit keempat menerusi Mohd Fazli Baharuddin. 

Walau bagaimanapun, kelebihan itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya skuad kendalian Dollah Salleh, sebaliknya Terengganu yang lebih banyak melancarkan serangan terutama pada separuh masa kedua.

Che Nasir menafikan kelemahan dan kekalahan itu mungkin berpunca daripada ketiadaan dua penyerang, R Surendran dan Mohd Faizol Hussin. 

”Kekalahan itu bukannya disebabkan ketiadaan penyerang tetapi lebih kepada kegagalan semua pemain mengekalkan prestasi. 

“Dalam bola sepak, kita tidak harus bergantung kepada beberapa pemain sahaja kerana sukan ini memerlukan kerjasama daripada semua pemain,” katanya.

No comments:

Post a Comment