Sunday 10 April 2011

Malek Noor teleh keluar dari Hospital



”ALHAMDULILLAH, Tuhan memberi saya peluang kedua untuk hidup,” luah bekas juara bina badan Asia, Datuk Abdul Malek Noor, 54, selepas dibenarkan keluar daripada Hospital Pantai Ipoh (HPI) di sini, semalam. 

Beliau diiringi ahli keluarga sambil mendukung anak angkatnya, Nik Nur Amarlin Aishah Nik Mahmud, 2, ketika berjalan menuju ke arah ambulans. 

Keadaan fizikalnya juga cergas dan beliau kelihatan tersenyum ceria ketika disapa media yang tidak jemu menanti kehadiran bekas atlet bina badan di lobi hospital itu. 

Malek dibenarkan pulang selepas menjalani pembedahan dan rawatan jantung selama lapan hari di hospital itu sejak 30 Mac lalu. 

Beliau dimasukkan ke HPI apabila mengalami sesak nafas akibat serangan jantung sewaktu menyertai perlawanan bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak, di sini. 

Malek menasihati rakyat Malaysia terutamanya yang sudah mencecah 50 tahun ke atas supaya membuat pemeriksaan jantung bagi memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik. 

“Selain program kesihatan membabitkan bekas atlet khususnya, perlu dijalankan setiap empat ke enam bulan supaya mereka tidak terdedah dengan penyakit merbahaya seperti jantung dan sebagainya,” katanya. 

Beliau juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada pakar perubatan jantung HPI, Dr Wahid Abdul Latif dan Dr Chan Chong Guan serta isteri termasuk kakitangan HPI yang bertungkus lumus berusaha supaya beliau kembali pulih. 

“Kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) serta individu yang melawat saya di hospital ini saya ucapkan terima kasih. Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas budi mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment