Saturday 9 April 2011

Schumacher hanya berada ditempat kelima

MERCEDES GP Petronas muncul pasukan paling cemerlang berbanding dua lagi pasukan yang mempunyai kaitan dengan Malaysia pada sesi latihan bebas Grand Prix F1 Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
Juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher (gambar) mencatatkan masa kelima terpantas pada sesi latihan kedua dengan catatan masa 1 minit 38.088 saat sementara rakan sepasukan, Nico Rosberg ketujuh dengan catatan 1:38.565s.

Kebangkitan kedua-dua pelumba itu pada sesi ujian masa semalam sekali gus memadam keraguan ramai pihak selepas mereka berdua gagal menamatkan perlumbaan di Australia.
Sementara itu, persengketaan nama Lotus di antara Lotus Renault di mana jenama Lotus dikuasai Proton serta Team Lotus yang dimiliki taikun syarikat penerbangan tambang murah AirAisa, Datuk Seri Tony Fernandes, terus berterusan di litar perlumbaan.

Namun sesi latihan bebas semalam lebih memihak kepada Lotus Renault apabila kedua-dua pemandu mereka iaitu Nick Heidfeld serta Vitaly Petrov mencatatkan masa lebih baik berbanding Jarno Trulli serta Heikki Kovalainen dari Team Lotus.

Heidfeld menduduki tempat kelapan dengan catatan masa 1:38.570s pada ujian masa kedua manakala Petrov ke-13 dengan catatan 1:39.267s.
Sementara Trulli pula sekadar mencatatkan masa 1:41.197s untuk tempat ke-20 manakala Kovalainen lebih mengecewakan apabila menduduki tempat ke-23 dengan catatan 1:44.886s.

No comments:

Post a Comment