Saturday 9 April 2011

The Rock dan Cena bertemu Di Gelanggang











BUAT julung kali dalam sejarah WrestleMania, satu acara utama sudah ditetapkan setahun lebih awal dan ia ternyata satu pertarungan hebat dan mendebarkan.
The Rock menentang John Cena sudah rasmi bagi pertarungan WrestleMania 28. Bekas Hurricane itu akan kembali ke kampung halamannya di Miami bagi perlawanan WWE pertamanya dalam tempoh lapan tahun.
Pentas sudah dibuka awal minggu ini dalam pertunjukan WWE Raw. John Cena dipanggil keluar oleh The Rock pada penghujung pertunjukan itu. Anehnya Cena dilihat bagaikan seorang yang mabuk kurang 24 jam selepas ‘dikerjakan’ oleh The Rock di WrestleMania.
The Rock mencelah satu promo mengenai Cena dan mula mencabarnya. The Rock bagaimanapun berkata dia menghormati Cena, sentimen yang disusuli dengan ejekan dan cemuhan penonton.

The Rock kemudiannya memberitahu Cena dia memang bencikan lelaki itu. Cena membalasnya dengan berkata lebih baik mereka menyelesaikan permusuhan itu, menanggal bajunya dan mencabar The Rock.

Mulanya The Rock agak teragak-agak untuk menerimanya tetapi dia berkata lebih baik ia dilakukan pada pertarungan terbesar, WrestleMania 28. Kedua-duanya berjabat tangan bermakna John Cena melawan The Rock secara rasmi akan berlangsung dalam pertunjukan WrestleMania.
The Corre melompat ke arah kedua-dua penggusti ternama itu selepas kedua-duanya bersetuju dengan pertarungan itu. Cena dan Rock mudah mengalahkan mereka. Kemudiannya dilihat The Rock dan Cena cuba untuk mengatasi satu sama lain ketika mereka bergilir-gilir membelasah anggota Corre dengan ‘signature move’. Pertunjukan itu tamat dengan kedua-dua penggusti itu berjabat tangan sekali lagi.

Agak pelik juga menyaksikan selepas menetapkan satu pertarungan terbesar, dua penggusti itu bergabung untuk menundukkan Corre. Penonton kelihatan tidak begitu pasti bagaimana untuk memberikan reaksi.

Difahamkan WWE ada komitmen bersama The Rock bermula tahun depan. Adalah menjadi satu risiko perniagaan untuk mempromosikan perlawanan besar terlalu awal kerana banyak perkara boleh berlaku. Cena malah Rock boleh mendapat kecederaan. The Rock boleh mendapat tawaran berlakon. Siapa tahu, tetapi WWE perlu yakin The Rock bersedia menghadapi WrestleMania 28.

Daripada segi acara utama, The Rock melawan John Cena pastinya menjadi satu daripada perlawanan acara utama terbesar dalam sejarah WrestleMania.

Bagi sebuah syarikat yang tidak pernah ada perancangan rapi, WWE memulakan satu babak baru kerana ada setahun untuk bersedia bagi perlawanan paling ditunggu-tunggu dalam sejarah acara utama WrestleMania.

No comments:

Post a Comment