Saturday 9 April 2011

Aksi Orang Kuat

AKSI sukan lasak seperti ‘World Strongest Man’ memang sudah dikenali di negara Barat tetapi bagi penduduk Sabah, pertandingan Orang Kuat Sabah menjadi salah satu acara sukan paling ditunggu dan tidak kurang hebatnya apabila peserta dikehendaki mengangkat atau menarik bebanan luar biasa.
Walaupun hanya disertai ‘badang’ tempatan termasuk beberapa peserta dari negara jiran, reaksi diterima sangat menggalakkan apabila 18 peserta merebut gelaran ‘Orang Kuat Sabah’ di Kompleks Asia City, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Sejak diperkenalkan tahun lalu, pertandingan ini memerlukan setiap peserta menempuh enam disiplin, Truck Pull, Farmer's Walk, Tire Flip, Car Deadlift, Yoke Walk dan Atlas Stone sebelum layak dinobat juara.
Acara itu turut mendapat perhatian Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun yang mengakui penganjuran sukan lasak seumpama itu mampu menjana tarikan pelancong, seterusnya mempopularkan negeri itu sebagai destinasi tahunan bagi penggemar sukan itu.

“Pihak kementerian bersedia memberikan peruntukan tambahan sekiranya acara ini mampu menarik lebih ramai penyertaan dari negara jiran termasuk Filipina, Indonesia, Thailand dan negara Asia lain,” katanya.

Pada pertandingan itu, kebanyakan peserta mengakui cabaran diberikan sangat getir.
Rata-rata mereka mendakwa, acara disiplin ‘Farmer's Walk’ adalah yang paling sukar kerana setiap peserta perlu mengangkat bebanan lebih 200 kilogram dan berlari dalam jarak sekitar 50 meter.

Peserta dari Singapura, Ahmad Taufiq berjaya menenggelamkan kehebatan peserta lain apabila muncul juara sekali gus ditabal sebagai Orang Kuat Sabah 2011.

Ahmad yang berjaya mengumpul 17 mata selepas mengharungi enam cabaran membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi dan sijil penyertaan.

Dua anak tempatan berasal dari Kudat, Honesty Ahandoi dan Alfred Magabis pula terpaksa berpuas hati di tangga kedua dan ketiga.

Sementara itu, penganjur pertandingan, Steve Johnny Mositun berkata, sukan itu mampu membantu mempertingkatkan lagi ekonomi dan sektor pelancongan negeri.

“Sekiranya mendapat sokongan kerajaan negeri, saya yakin sukan ini mampu menjulang nama Sabah sebagai salah satu destinasi menarik untuk dikunjungi,” katanya.

No comments:

Post a Comment