Saturday 9 April 2011

RM36 juta?


KUALA TERENGGANU – Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta mengkaji semula kos pembinaan velodrom mini di Dungun yang dikatakan terlalu tinggi sehingga mencecah RM36 juta.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata, kerajaan negeri dan MSN hanya mencadangkan anggaran peruntukan RM3.5 juta setimpal dengan peranan kemudahan itu kelak.
Katanya, anggaran kos oleh JKR dilihat amat tinggi bagi membina sebuah velodrom yang dirancang sebagai pusat latihan selain boleh veneu untuk pertandingan peringkat tempatan.
“Kita fikir cukuplah ada sebuah velodrom biasa bagi memudahkan atlet-atlet baru untuk berlatih seperti yang sedia ada di Cheras, Kuala Lumpur.
“Tidak semestinya perlu dibina terlalu gah kerana ia akan melibatkan kos yang tinggi dan akan melambatkan pembinaannya.
“Jika mereka setuju, pembinaan velodrom itu dibina dalam tempoh terdekat ini namun jika sebaliknya kita akan bagi peruntukan itu pada negeri lain kerana masih banyak negeri lain yang memerlukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis penyerahan geran tahunan Projek Akademi Sepak Takraw Terengganu (Pasta) Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin dekat sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Pasta, Dr. Muhammad Omar dan Pengetua SMK Padang Midin, Anuar Harun.

Pada majlis berkenaan Zolkples turut menyumbangkan RM42,000 kepada sekolah berkenaan untuk membaikpulih gelanggang sepak takraw sekolah itu.
Selain itu, Pasta turut menerima tajaan pakaian sukan oleh syarikat Mesuma Sdn. Bhd. yang disampaikan oleh pengurusnya, Mohd. Hanafiah Ismali.
Dalam perkembangan yang sama, Zolkples berkata, beliau berharap velodrom tersebut dapat dibina secepat mungkin bagi mengelakkan kos pembinaan terus meningkat.

No comments:

Post a Comment