Saturday 9 April 2011

Atlet terbaik MASUM Bryan dan Fong Ying

KOTA KINABALU - Jaguh terjun negara, Bryan Nickson Lomas serta atlet wushu kebangsaan, Chai Fong Ying dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan Universiti-universiti Malaysia (MASUM) 2010 di sini, semalam.
Pemilihan mereka berdasarkan pencapaian ketika mewakili universiti, MASUM serta negara dalam beberapa kejohanan di peringkat antarabangsa.
Bryan, pelajar Universiti Malaya (UM) dipilih berikutan kejayaan membawa pulang dua pingat perak dan satu gangsa dalam Sukan Asia Guangzhou, China 2010 manakala Fong Ying menghadiahkan negara dua emas dalam temasya sama tahun lalu membolehkan atlet dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menerima anugerah.
Kemenangan itu membolehkan Bryan dan Fong Ying masing-masing membawa pulang RM3,000 di samping trofi.
Anugerah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin pada majlis yang diadakan di One Borneo sini, semalam.
Atlet Bintang Harapan Lelaki milik pelajar UPM, Uriel Yu En French daripada sukan karate do yang beraksi cemerlang untuk pingat emas pada Sukan Universiti ASEAN (AUG), Thailand tahun lalu manakala atlet bola jaring, Noor Atika Md. Radzi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipilih sebagai Atlet Bintang Harapan Wanita sekali gus membolehkan mereka menerima RM1,000.
Sementara itu, Anugerah Pasukan Terbaik Lelaki menjadi milik pasukan sepak takraw dan bagi kategori wanita pula dimenangi pasukan tenpin boling.
Kedua-dua pasukan dipilih berdasarkan pencapaian mereka pada AUG tahun lalu.
Anugerah Jurulatih Terbaik milik jurulatih golf dari Universiti Utara Malaysia, Wan Rosni Wan Chik serta Anugerah Pengurus Terbaik diberikan kepada pengurus pasukan tenpin boling dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Fisol Saud.
Dalam pada itu, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan dipilih untuk menerima Anugerah Tokoh Sukan MASUM dan bekas Pengarah Pusat Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mejar (B) Md. Bahar Abdul Hamid menerima Anugerah Sekalung Budi.

No comments:

Post a Comment