Saturday 9 April 2011

Pertimbangan Hamilton untuk sertai Red Bull

SEPANG - Pemandu Britain, Lewis Hamilton semalam menegaskan, berpindah dari McLaren ke Red Bull 'boleh berlaku', sambil berkata, dia gembira jika dapat bergandingan bersama, Sebastien Vettel.
Juara dunia 2008 itu sejak akhir-akhir ini dikaitkan dengan perpindahan ekoran kerjasama yang dimeterai oleh pengurusan baru pasukannya dengan XIX Entertainment, agensi yang diuruskan oleh selebriti, Simon Fuller.
Hamilton, 27, yang mengambil masa setahun untuk mencari pengurus baru selepas berpisah dengan pengurus lama yang juga bapanya, Anthony berkata, kerjasama dengan juara pengeluar dunia, Red Bull bagi menggantikan pemandu Australia, Mark Webber, 34, secara teorinya boleh berlaku.
"Ia (bergandingan dengan juara dunia) boleh berhasil. Anda lihat saja saya dan (bekas rakan sepasukan di McLaren) Fernando (Alonso), kedua-dua kami sangat kompetitif. Anda juga boleh lihat saya dan (rakan sepasukan sekarang) Jenson (Button). Bermakna, dua juara dunia dalam satu pasukan bukan sesuatu yang mustahil, asalkan kedua-duanya diberi layanan saksama.
"Ia mungkin tidak boleh berlaku dalam pasukan lain tetapi dalam pasukan saya, layanan yang diberikan sangat adil,'' katanya.
Bos Red Bull, Christian Horner sebelum ini menolak kemungkinan untuk menggandingkan dua juara dunia, namun Hamilton menegaskan, Horner berkata demikian hanya kerana berpandukan kepada situasi pasukannya sekarang.
"Satu-satunya yang boleh saya bayangkan mengapa dia (Horner) berkata demikian adalah kerana dia sedar ada sesetengah individu tidak suka apabila dikalahkan. Ada yang menerimanya dengan baik dan ada yang tidak,'' katanya. - AFp

No comments:

Post a Comment