Saturday 9 April 2011

Pendahulu tetap milik McIlroy


AUGUSTA (Georgia): Pemain muda tampil bergaya pada kejohanan golf Masters Amerika Syarikat dengan bintang berusia 21 tahun, Rory McIlroy (gambar) dari Ireland Utara mengekalkan pendahuluan dua pukulan di depan pemain berusia 23 tahun dari Australia, Jason Day selepas tamat separuh saingan, semalam.
Pendahulu semalaman McIlroy mencatat 69 bagi 10 bawah par 134, manakala Day, yang beraksi di samping pemain Britain itu, meletakkan dirinya dalam buruan kejuaraan dengan catatan mengagumkan 64, satu pukulan saja tersasar daripada rekod kejohanan.

Juara Masters empat kali, Tiger Woods turut mencuri tumpuan dengan tujuh birdie daripada lapan lubang terakhir bagi catatan 66 yang membolehkannya berkongsi kedudukan dengan pemain Korea Selatan, K J Choi dengan tujuh bawah par 137.
Woods, yang dilihat mungkin gagal melepasi had kelayakan selepas tiga bogey dalam tujuh lubang pertama, menamatkan pusingannya dengan bergaya apabila melakukan birdie dari jarak 10 kaki pada lubang terakhir.

“Saya tiga pukulan di belakang, jadi saya masih ada peluang untuk merebut kejuaraan,” kata Woods, yang sudah hampir 17 bulan kemarau kejuaraan dan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan hayunan baru. “Kami masih ada 36 lubang lagi. Saingan masih jauh.” Choi, yang mengambil alih sebagai pendahulu kejohanan dengan lapan bawah par sebelum McIlroy melakukan tee, mencatat 70 selepas bogey dengan tiga putt pada lubang ke-18.

McIlroy, yang mendahului pada Terbuka British di St Andrews tahun lalu dengan 63 sebelum merudum pada pusingan kedua dengan 80, bermain mantap kali ini ketika dia membenam empat birdie berbanding satu bogey.
“Saya berasa amat selesa di lapangan golf ini,” kata McIl- roy, yang menduduki tangga ketiga dalam tiga daripada lima kejuaraan utama terakhir disertainya. “Saya mendahului dua pukulan pada satu kejohanan utama. Anda tidak mungkin kecewa dengannya.” Pemain muda ketiga dalam kelompok itu, Rickie Fowler turut tidak mengecewakan. Pemain berusia 22 tahun dari Amerika itu mencatat 69 bagi 139, lima pukulan di belakang pendahulu.

“Ia memang hebat. Saya fikir secara kolektif dalam dua hari terakhir kami mengumpul 23 bawah par. Kami bermain dengan agak bagus di luar sana dan kami saling membantu satu sama lain.” Dengan pungutan 138 pukulan, empat pukulan di belakang pendahulu adalah pemain Australia, Geoff Ogilvy dan Alvaro Quiros dari Sepanyol, yang berkongsi sebagai pendahulu pusingan pertama.

No comments:

Post a Comment