Saturday 9 April 2011

Victoria mahu fokus London untuk menang

SKUAD Britain menamatkan saingan pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Belanda sebelum turun beraksi pada Sukan Olimpik 2012 dengan satu emas, tiga perak dan lima gangsa.
Juara Olimpik, Victoria Pendleton - juara dunia lapan kali - merangkul perak dalam acara pecut berpasukan bersama-sama Jessica Varnish dan gangsa dalam acara pecut individu sekali gus melepas gelaran yang dipegangnya sejak 2007.

Victoria kini dalam program dua tahun, menetapkan Olimpik London sebagai fokus utama terpaksa mengorbankan impian untuk menang semata-mata mahu mencari kekuatan agar dapat mencapai tahap kemuncak dalam tempoh 16 bulan lagi.
Katanya: “Saya amat yakin ia keputusan paling tepat dan akan menghabiskan masa saya dengan melakukan latihan asas sepanjang tahun ini.

“Saya terpaksa mengorbankan kejohanan ini dan tahu pendekatan ini akan membuahkan hasil dan anda perlu mengambil satu langkah ke belakang untuk terus maju ke depan. “Saya amat yakin apa yang saya lakukan tahun ini akan menampakkan hasil tahun depan. Saya pernah melakukannya dan saya mampu mengulanginya.” Victoria tahu pencapaiannya di Kejohanan Dunia akan dipersoalkan tapi perkara itu tidak menghalangnya meraih kejayaan.

“Saya sedar banyak pihak meletakkan harapan kepada saya dan ia sebenarnya memberikan tekanan. “Saya tidak meletakkan harapan yang sama ketika datang ke sini dan sudah katakan saya perlu mengorbankan tahun ini demi Olimpik.
“Ia sangat sukar. Saya kecewa dengan diri sendiri dalam beberapa perkara. Saya berasa penat. Saya perlu masa untuk berehat.

Bagaimanapun, motivasi turut menjadi isu di Apeldoorn.

Victoria berkata: “Sukar untuk benar-benar bersedia menghadapi Olimpik 2012.

“Saya sedar memang ia satu perkara yang sukar biarpun di Kejohanan Dunia - semua menganggap 'Ia bukan masalah kerana yang penting adalah 2012'. Saya pernah berasa perkara sama. Semuanya merosot. “Kejohanan Dunia dirasakan seperti Piala Dunia, Piala Dunia pula seperti kejohanan kebangsaan dan kejohanan kebangsaan mungkin seperti perlumbaan liga pada setiap hari Khamis.

“Saya berasa penat dengan apa yang sudah dilalui tahun ini mungkin kerana Olimpik semakin hampir. “Harapan dan tekanan akan dirasai dalam setiap pertandingan. Kejohanan Dunia tidak mengubah kehidupan saya tapi Sukan Olimpik boleh.” Victoria akan berehat seketika daripada acara trek musim panas ini dan hanya menjalani latihan di jalan raya untuk kembali mendapatkan semula kekuatan sebelum Olimpik London.

Pelumba berusia 30 tahun dari Bedfordshire itu berkata: “Saya bagaikan memberi tekanan kepada diri saya justeru saya perlu bercuti buat seketika.

“Saya berharap dapat menikmati cuti kali ini dengan lebih sempurna, berehat daripada berkayuh dalam acara trek buat sementara waktu dan hanya menjalani latihan ringan sebagai persiapan musim depan.” Victoria dijangka akan bangkit kembali di Kejohanan Dunia tahun depan di Melbourne begitu juga skuad Britain.

Dalam 10 acara Olimpik yang dipertandingkan di Belanda, Britain meraih lapan pingat berbanding Australia yang merangkul enam pingat tetapi kesemuanya emas.

Tiga daripadanya dihadiahkan oleh seteru utama Victoria, Anna Meares yang pernah ditewaskan pelumba itu ketika perlumbaan akhir di Beijing.

Victoria merangkul tiga gelaran dunia pada 2007 dan sedar dia mampu menakluk dunia sekali lagi.

No comments:

Post a Comment