Saturday 9 April 2011

Pehormatan kepada Muhammad Ali, Frazier untuk zaman kegemilangannya


DALAM bilik hotelnya pada sebelah pagi, Muhammad Ali masih berasa sakit di bahagian rahangnya yang bengkak sebelum pelayan hotel tiba membawakan sarapan dan mengucapkan tahniah sebagai juara dunia.
Bagaimanapun peninju itu menegur pelayan hotel tersebut dengan menjawab bahawa dia bukanlah juara dunia, sebaliknya lawannya, Joe Frazier yang layak dianggap sebagai juara dunia.

Apa yang dikatakan oleh Ali itu memang benar, gambarnya terpampang di dada akhbar pada 8 Mac 1971 tatkala peninju yang menjadi kesayangan ramai ketika itu tewas kepada Frazier dalam pertembungan yang berlangsung di New York.
Gambar itu menunjukkan Ali sedang berusaha untuk bangun semula di pusingan ke-15 manakala Frazier berjalan menuju ke sudut gelanggang meraikan kejayaannya.
“Saya melakukan beberapa tumbukan padu ke arahnya. Mereka menganggap tumbukan pertama yang saya lepaskan tersasar tetapi satu tumbukan cedok tangan kiri yang saya lakukan membuatkan dia jatuh,” kata Fraizer.
Peristiwa itu berlaku 40 tahun lalu, di mana Ali dan Frazier bertarung di Madison Square Garden. Frazier dapat mengekalkan kejuaraan dunia yang disandangnya namun ramai peminat sukan tinju menganggap Ali adalah juara sebenar.
Ini kerana kejuaraan dunia milik Ali dilucutkan berikutan keengganannya menyertai tentera Amerika Syarikat ke Perang Vietnam. Frazier tidak pernah dikalahkan dan Ali pula bertarung buat kali ketiga sejak tiga tahun setengah tidak beraksi.
“Ada di antara mereka lebih senang tidak melihat saya bertarung berikutan kesalahan yang saya lakukan sebelum ini. Ada juga yang menghalang saya beraksi kerana agama dan berkulit hitam, serta beberapa sebab lain lagi yang saya tidak tahu,” kata Ali.
Mereka pernah bertemu dua kali sebelum ini, termasuk di Manila, namun tidak sama seperti perlawanan tersebut di New York, di mana Frank Sinatra begitu teruja mengambil gambar di sebelah gelanggang. Orang kenamaan termasuk artis memenuhi tempat duduk utama dan hampir kesemua penonton wanita menyaksikan pertembungan dengan memakai kot panjang berbulu.
Frazier melakukan sekarang bertubi-tubi sepanjang malam tersebut, sentiasa mengekori Ali dan sentiasa memberi tumbukan cedok tangan kiri jika dia mendapat peluang. Ali sesekali melakukan serangan namun tumbukan yang dilepaskan adakalanya tersasar dan dia juga berpeluang melakukan tumbukan tangan kanan tepat ke kepala yang mampu menumbangkan lawan.
Kehebatan Frazier tidak boleh disangkal, dia membuat serangan menggila ke atas Ali pada pusingan ke-11. Pada masa yang sama Ali tergelincir akibat gelanggang licin dan dia terduduk terus apabila mendapat penangan tumbukan cedok tangan kiri tatkala pusingan ke-15 baru berlangsung selama 25 saat.
Ali bangun dan cuba untuk menamatkan pertarungan itu namun rahangnya bengkak seperti sebiji buah anggur dan apabila pertembungan berakhir Frazier diumumkan sebagai pemenang hasil keputusan sebulat suara juri pertandingan.
“Ali tewas tetapi itu adalah salah satu daripada peristiwa yang akan dikenang. Dia hanya beraksi sebanyak dua kali selepas kembali ke gelanggang akibat penggantungan dan dia beraksi sebanyak 15 pusingan menentang lawan yang berada di ranking pertama,” kata wartawan tinju Associated Press (AP), Ed Schuyler Jr yang berada di tepi gelanggang.
Ali tidak pernah berhenti berjuang selepas dia digantung. Dia masih mempunyai kemahiran untuk menewaskan semua lawan tetapi dia tidak boleh menumbangkan Frazier yang mempunyai keazaman yang tinggi.
“Jika Joe Frazier menentang King Kong malam itu, saya rasa dia juga mampu menang, tidak ada siapa yang boleh menghalang Joe Frazier,” kata Gene Kilroy, yang merupakan sahabat kepada kedua-dua peninju itu sebelum menjadi pengurus perniagaan Ali.
Ali berusia 69 tahun sekarang, tinggal di Arizona dan sedang bergelut dengan penyakit Parkinson, manakala Frazier, 67 menetap di Philadelphia. Bagaimanapun Frazier bercadang untuk pergi berparti di New York dan Philadelphia untuk meraikan kemenangan yang diraih satu ketika dulu.
“Saya tidak akan ke mana-mana tanpa sebab, ia adalah saat paling bernilai yang berlaku dalam hidup saya,” kata Frazier.
Bagaimanapun tidak semua detik bersama Ali sangat mengujakan Frazier. Dia begitu tersentuh ketika Ali memperkatakan tentang dirinya menjelang pertarungan itu dan kedua-duanya saling membenci antara satu sama lain.
“Saya sudah maafkan dia, ketika itu dia memang jahat,” kata Frazier yang ketawa selepas ditanya apa yang akan dibualkan mereka berdua jika kedua-duanya kembali bertemu.
Ia adalah saat yang paling bermakna buat Frazier dan pertarungan itu akan dikenang sampai bila-bila sebagai ‘Pertarungan Legenda’.

No comments:

Post a Comment