Saturday 9 April 2011

Kecemerlangan 1980 menjadi kerinduan Santokh


TARIKH 16 April 1980 kekal dalam ingatan bekas pemain bola sepak negara, Datuk Santokh Singh kerana pada detik itulah skuad Malaysia menempa sejarah yang tiada tandingan apabila layak ke Sukan Olimpik Moscow.
Siapa yang dapat melupakan detik-detik cemerlang pasukan negara yang meleburkan ego Korea Selatan 2-1 di Stadium Merdeka pada perlawanan kelayakan Olimpik.
Santokh, kini berusia 59 tahun, mengawal pertahanan skuad negara bersama gandingan serasinya, Datuk Soh Chin Aun.
Dalam pertemuan dengan legenda bola sepak negara itu di kediaman beliau di Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Santokh berkongsi cerita dengan mengimbau detik sebelum dan selepas tarikh keramat 6 April 1980.
Bagi Santokh, 90 minit perlawanan tersebut merupakan memori paling menarik dalam hidupnya.
Menurutnya, sehari sebelum perlawanan getir itu, hanya tiga perkara difikirkannya. Ketika itu beliau baru 11 bulan mendirikan rumahtangga dengan Taljit Kaur.
Pertama maruah negara, kedua isterinya dan ketiga ejekan penonton, bimbang jika pasukan negara melakukan kesilapan.
"Selepas menerima kata-kata semangat daripada isteri yang dihubungi menerusi telefon, ia membuatkan semangat saya kembali membara dan tidak sabar menanti hari keramat itu,'' katanya.
Menyarung jersi kebangsaan berwarna kuning dengan No. 5, perasaan Santokh kembali gemuruh sewaktu melangkah masuk ke Stadium Merdeka kerana ia dipenuhi hampir 60,000 penonton.
Sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan, segalanya berubah dengan pantas. Semua pemain bergerak ke posisi masing-masing, dengan misi untuk melayakkan negara ke Sukan Olimpik.
Malaysia gah apabila berjaya mendahului pasukan lawan menerusi jaringan Bakri Ibni seawal minit ke-12.
Namun, Santokh tertekan dan kecewa apabila Korea Selatan tanpa disangka berjaya juga menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-58.
Pada kedudukan tersebut, apa sahaja boleh berlaku. Namun, Santokh tekad bermain bermati-matian menahan kubu pasukan negara daripada asakan bertalu-talu Korea Selatan.

Stadium Merdeka gegak gempita dengan sorakan penyokong apabila James Wong menjaringkan gol pada minit ke-85, yang akhirnya menjadi jaringan kemenangan buat skuad Malaysia.
Jaringan kemenangan itu adalah hasil daripada gerakan menarik Hassan Sani yang bermula dari tengah padang, menewaskan beberapa pemain lawan, sebelum memberikan bola kepada James.
"Selepas gol kedua dijaringkan, perlawanan yang berbaki kira-kira lima minit dirasakan terlalu panjang.
"Keadaan menjadi bertambah getir buat saya dan Chin Aun. Kami mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak leka, selagi perlawanan belum berakhir.
"Saya dan Chin Aun berusaha mempertahankan jaringan kedua yang kami cipta. Malah, lebih penting mengekang Korea Selatan daripada menjaringkan gol penyamaan.
"Korea Selatan mempunyai misi untuk membalas dendam di atas kekalahan mereka pada kelayakan Olimpik 1972 di Munich, selain mahu layak ke Olimpik Moscow.
"Sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan, semua pemain bersorak kegembiraan. Kami berlari membuat pusingan di stadium dengan membawa bendera Malaysia selain melambai-lambai tangan, mengucapkan terima kasih kepada peminat,'' kata Santokh.
Namun, 'kemanisan yang diharap berubah pahit' apabila impian untuk beraksi pada Sukan Olimpik Moscow terpaksa dilupakan berikutan 'keputusan' memulaukan sukan tersebut.
Detik-detik manis itu sudah lama berlalu dan ia kekal sebagai detik paling berjaya skuad bola sepak negara.
Santokh kini lebih gemar berehat di rumahnya di Setapak, namun jiwanya sebagai pemain bola sepak masih muda selain tidak lokek berkongsi ilmu dengan mereka yang memerlukan bimbingan.
Kepada pemain skuad bola sepak negara, Santokh berpesan supaya mereka berjuang sepenuh jiwa untuk maruah negara seperti mana yang pernah beliau lakukan bersama rakan-rakan seangkatan dengannya.
"Dahulu kami turun beraksi di padang kami tidak pernah mengharapkan apa-apa jika menang sesuatu perlawanan. Keringat kami adalah demi negara.
"Hanya seutas jam tangan jenama Rolex diberikan kepada pemain sebagai hadiah selepas menewaskan Korea Selatan pada 1980,'' katanya.

No comments:

Post a Comment