Saturday 9 April 2011

Cabaran Honda Wave Junior 2011

MEREMPIT atau berlumba haram di jalan raya tidak akan disokong gara-gara lebih banyak mudarat daripada manfaat. Tetapi ‘merempit’ menurut kaca mata Cabaran Honda Wave Junior 2011, menjanjikan masa depan yang jauh lebih cerah buat salah seorang daripada 20 remaja Malaysia yang bertuah.
Bakal menerima asuhan dari sekolah lumba Jepun seterusnya peluang beraksi dalam Siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia-Petronas - inilah satu-satunya tawaran keemasan dan buat kali pertamanya diperkenalkan lantas tidak wajar dilepaskan begitu sahaja oleh sesiapa pun yang terpilih.
Mereka disaring sebagai yang terbaik daripada 30 yang menghadiri sesi pemilihan di Litar Go-Kart Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, baru-baru ini selepas penganjur Honda menapis 120 penyertaan yang diterima sejak 5 hingga 6 Februari lalu.
Remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun menjadi sasaran penganjur.
Pengurus pasukan Honda, Rodney Peh berkata: “Ia satu penyuntik semangat buat para pelumba muda kali ini namun hanya terbaik menjadi pilihan kami dan tidak semestinya yang muncul juara keseluruhan atau sesuatu pusingan.
“Ada beberapa kriteria tertentu yang kami ambil kira dan perlu dipatuhi pelumba Cabaran Honda Wave Junior. Ia termasuk disiplin, bersemangat juang, berbakat besar dan sentiasa berprestasi tinggi.
“Tidak perlu memilih mereka menerusi juara keseluruhan, pusingan atau pendahulu keseluruhan perlumbaan khas sokongan Cub Prix mulai 26 mac kerana insentif itu (Jepun) hanya diberikan pada September ini ketika saingan masih rancak.
“Semua 30 pelumba yang hadir cukup berbakat malah sukar memilih kalangan 20 terbaik kerana mereka cukup bersedia malah mendapat sokongan padu ibu bapa.”
Menyentuh pemilihan jentera Wave 110cc bagi menggantikan jentera Honda icon musim lalu, jelas Rodney, ia merupakan strategi musim iaitu mengilap pelumba muda berbakat berbeza musim sebelumnya.
“Dengan jentera underbone (Honda Wave 110cc) ini, mereka akan lebih bersedia dalam perlumbaan masa depan malah walaupun setelah mendapat tawaran untuk menyertai pasukan lain atau khususnya apabila memasuki kategori Wira,” katanya.
Turut membantu dalam sesi pemilihan itu ialah empat bekas pelumba handalan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini (Pachie Yuzy Honda Racing), Soon Chee Keong (Harian Metro SCK Honda Racing), Chong Kok Ming (M-Seki Liberty Honda Racing) dan Aerdy Herman (TPB GH Motor World).
Sesi pemilihan itu turut mendapat sentuhan pelumba berpengalaman, Mohd. Emir Firdaus Hassan yang menurunkan pelbagai petua berguna kepada pelumba muda Cabaran Honda Wave Junior 2011.

No comments:

Post a Comment