Saturday 9 April 2011

Misi mustahil :BolaShebbie

APA yang sudah berlaku tidak boleh diperbaiki dan begitulah keadaan pasukan Tottenham Hotspur dari England, Inter Milan dari Itali serta Shakhtar Donetsk dari Ukraine.
Kekalahan teruk pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah kini menyaksikan mereka perlu bangkit merancang langkah seterusnya.

Disinilah mentaliti, tradisi dan budaya bola sepak sesebuah negara yang akan menentukan corak permainan serta taktik yang bakal dipraktikan.
Spurs akan turun dengan semangat perjuangan tinggi demi menjaringkan lima gol untuk mara ke separuh akhir.

Aksi kedua di White Hart Lane pasti berlangsung dengan tempo pantas.

Secara tradisi, kelab England tidak mudah putus asa dan selalunya akan turun dengan harapan setinggi gunung.
Tetapi cabaran yang menanti amat besar kerana Real Madrid begitu selesa dengan corak permainan serangan balas pantas.

Kekalahan 4-0 di tangan Real Madrid didakwa berlaku selepas Peter Crouch diperintah keluar padang tapi hakikatnya pasukan dari England sentiasa mengharapkan pemain individu.

Selaku juara bertahan, Inter bertandang ke Gelsenkirchen dengan mentaliti ‘jangan tewas’.

Mereka memerlukan kemenangan empat gol tetapi pasti mengamalkan corak permainan bertahan untuk mengelak kekalahan memalukan sekali lagi. Apa yang berlaku di San Siro satu tamparan hebat bagi bola sepak Itali dan kini Inter terpaksa memulihkan maruah negara itu.

Apa pula mentaliti yang dibawa Shakhtar Donetsk yang agak unik kerana menurunkan barisan pertahanan serta penjaga gol warga Eropah Timur yang berdisiplin tinggi dan barisan pemain tengah serta penyerang yang terdiri daripada pemain Brazil.

Kita bakal lihat pemain Brazil menunjukkan kebolehan individu agar dipikat kelab Eropah Barat.

Pertembungan antara Manchester United selaku tuan rumah menentang Chelsea pula dijangka sengit seperti yang berlangsung di Stamford Bridge.

Chelsea kurang kreatif dan Fernando Torres masih lagi menghampakan.

Kegagalan pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas Patrice Evra menjatuhkan Ramires pasti akan membakar semangat pasukan milik Roman Abramovic itu.

Bagaimanapun, walaupun bola sepak penuh keajaiban, Real Madrid, Barcelona serta Schalke 04 sudah boleh bersiap sedia menghadapi cabaran separuh akhir.

No comments:

Post a Comment