Saturday 9 April 2011

Program di Melbourne Diteruskan


KEADAAN trek yang tidak sesuai di negara ini, menjadi antara faktor utama mengapa program pelumba basikal negara di Melbourne harus diteruskan.
Banyak faktor yang dipertimbangkan oleh Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab (gambar) berhubung penyambungan semula program berbasikal trek negara di Melbourne selepas tamatnya musim ini.

Abu Samah berkata, latihan di Melbourne wajar diteruskan selepas kejayaan demi kejayaan dilakar, membuktikan pendekatan menghantar atlet negara itu bukan satu pembaziran.
“Di Malaysia, kita tidak mempunyai trek yang sesuai kerana semuanya tidak berbumbung dan sesi latihan pasti terbantut apabila hujan.

“Tambahan pula latihan di trek luar dan velodrom berbumbung berbeza. Andai atlet berlatih di velodrom terbuka pasti mengundang masalah apabila bertanding di velodrom tertutup,” katanya.

Kebangkitan pelumba wanita, Fatehah Mustapa di Kejohanan Trek Dunia yang berlangsung di Apeldoorn, Belanda dan melakar sejarah negara apabila menjadi pelumba wanita pertama layak ke peringkat akhir perlumbaan keirin membuktikan kejayaan program itu kerana pelumba Terengganu itu menjadi pelumba tunggal negara yang menyertai program latihan pusat di Melbourne.
Kemasukan Fatehah dan Adiq Husainie Othman dalam program ‘Road To London’ bersama-sama Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Rizal Tisin dan Muhammad Edrus Md Yunos membuktikan kepercayaan yang diletakkan kepada barisan trek negara itu semakin tinggi justeru Abu Samah tidak berasa program ke Melbourne perlu dihentikan.

Abu Samah berkata, sudah lama kehadiran pelumba wanita di kancah antarabangsa dinantikan dan Fatehah akhirnya berjaya merealisasikan hasrat PKBM.

"Sudah lama kita menantikan kehadiran pelumba wanita. Jika dulu nak menghantar pelumba ke peringkat Asia pun tidak ada wakil tapi sekarang kita sudah berada dalam saingan dunia. Program pembangunan dan sistem latihan jitu daripada John Beasley akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

No comments:

Post a Comment