Saturday 9 April 2011

Kuda tua bernafas baru


USIANYA sudah mencecah 38 tahun dan pemain tengah ikon Brazil, Rivaldo sendiri berasakan karier gemilangnya semakin menuju ke penghujung apabila dia menyertai kelab kerdil Brazil, Mogi Mirim pada 2010. Bagaimanapun kejutan berlaku apabila pasukan handalan Sao Paulo menyambar pemain itu untuk beraksi secara pinjaman dan bekas bintang Selecao itu yakin untuk mencuri tumpuan sekali lagi.
Dalam satu temuramah, legenda yang menyarung jersi bernombor 10 itu berkongsi pendapat mengenai pelbagai isu termasuk bagaimana untuk kekal cergas sebagai pemain veteran serta persembahan hebat di peringkat Eropah. 
SOALAN (S): Bagaimana perasaan dapat kembali beraksi dalam kancah bola sepak Brazil sejak sekian lama?
RIVALDO (R): Ia memang sesuatu yang hebat. Sudah pasti masih ada beberapa perkara yang perlu saya lakukan untuk menyesuaikan diri selepas 14 tahun bermain di luar negara seperti sesi latihan berbeza dan menghabiskan masa lebih banyak di hotel sebelum perlawanan. Apa yang saya tahu mengenai Sao Paulo, saya tidak pernah bermain dengan kelab yang cukup tersusun seperti kelab ini. Anda tidak mahu terlepas latihan kerana ia ibarat syurga. 
S: Apakah cabaran terbesar anda musim ini?
R: Semua aspek dalam kehidupan penuh dengan cabaran namun cabaran yang saya bakal hadapi lebih hebat kerana usia saya. Semua orang akan melihat anda dengan pandangan berbeza dan mereka mempersoalkan sama ada anda boleh bermain dalam tempoh 90 minit. Semua pemain akan letih. Semestinya saya bukan manusia luar biasa: Saya akan letih, itu biasa. Tapi selepas 15, 20 minit pada babak kedua semua orang akan melihat saya. Kadang kala dalam perlawanan anda digantikan dengan pemain lain itu biasa kerana percaturan taktikal tapi apabila ia berlaku kepada saya, orang akan mengatakan saya letih dan itu sebenarnya tidak tepat. Saya mengambil bahagian dalam setiap sesi latihan, pagi dan petang bagi memastikan saya cergas sepenuhnya. Jika anda boleh berlatih dengan rakan sepasukan, anda mampu untuk bermain dalam 90 minit. Saya tidak mendapat lebih rehat kerana saya berusia 38 tahun. Orang mudah membuat andaian mengenai pemain muda dan ia sesuatu yang mengecewakan.

S: Apakah layanan yang boleh anda jangkakan daripada pemain pasukan lawan? Kami melihat bagaimana Ronaldo menerima terjahan keras selepas kembali ke Brazil, adakah anda juga mengalami pengalaman itu setakat ini?
R: Ada yang mahu bertukar jersi dengan saya dan ada pemain memberitahu saya pemain terbaik Piala Dunia 2002, itu memberikan semangat kepada anda di atas padang. Tapi anda berada di sana, di tengah-tengah pertempuran jadi anda hanya perlu mengucapkan terima kasih dan kemudian beraksi. Tiada masa untuk berbual di sana. Ia sungguh menarik. Kadang kala anda akan bertemu pemain yang akan mengawal anda dengan ketat dan dia meminta maaf dengan berkata: “Jurulatih saya mengarahkan saya supaya mengawal anda. Saya tahu anda pemain hebat. Tapi saya berkata kepadanya tiada masalah dan lakukan saja apa yang dia sepatutnya lakukan.

S: Anda lebih berminat untuk tidak mendapat tumpuan ramai. Adakah ia sesuatu yang sukar untuk menghadapi segala perhatian yang diberikan sejak pulang ke Brazil?
R: Saya menanganinya dengan ok. Saya seorang yang tidak suka bercakap, pemalu dan bukan jenis yang sukakan perhatian. Saya gembira dengan tugas dan gembira mengadakan temuramah namun saya lebih suka mengadakan temuramah seperti ini. Tapi saya juga pernah marah dalam sidang media: Saya dipanggil beberapa kali untuk sidang media dan semuanya ok! (ketawa) saya fikir Presiden Mogi Mirim membantu saya kerana saya terpaksa menjadi jurucakap kelab. Tapi saya suka mendapat liputan TV. Saya tidak mahu memikirkan cakap orang kepada saya untuk berasa gembira: bermain bola sepak ada perkara yang menggembirakan saya.

S: Apabila anda mula beraksi bersama Santa Cruz pada 1991, adakah anda terfikir untuk mengecapi karier sehebat ini?
R: Saya tidak fikir anda boleh membayangkannya. Bila saya menjadi pemain amatur di Santa Cruz, impian saya untuk menjadi pemain profesional dengan kelab itu. Tapi walaupun saya bermain banyak perlawanan untuk pasukan utama Santa, saya tidak ditawarkan kontrak sehingga saya menyertai Mogi Mirim. Saya beraksi di Mogi selama setahun empat bulan dan kemudian segala-galanya terbuka buat saya. Saya menyertai Corinthians dan pada mulanya sangat menakutkan tapi selepas itu saya mula menyesuaikan diri. Di sana saya mula sedar bahawa saya boleh pergi lebih jauh bukan saja bersama Corinthians atau Palmeiras. Deportivo La Coruna kemudian mendapatkan khidmat saya, saya menerima tawaran itu dan bermain beberapa perlawanan sebelum dapat membiasakan diri. Saya sedar saya boleh mencapai tahap lebih tinggi. Pada 1996 saya diiktiraf salah seorang pemain asing terbaik di Sepanyol selepas Ronaldo. Saya menjaringkan 21 gol dan Ronaldo menyumbat 34 gol untuk Barcelona. Saya kekal dengan Deportivo selama setahun sebelum menggantikan tempatnya di Barca. Ia memberi tekanan kepada saya tapi saya selalu menyatakan ‘Ronaldo adalah Ronaldo dan Rivaldo adalah Rivaldo’. Anda perlu menerima saya kerana diri saya. Saya bukan penyerang, saya pemain tengah itu sebab dia menjaringkan 34 gol dan saya menjaringkan 21 gol.

No comments:

Post a Comment