Saturday 9 April 2011

Zulfahmi berazam baru


NAMA Mohd Zulfahmi Khairuddin tiba-tiba saja menjadi perbualan di kalangan peminat sukan permotoran tempatan apabila pelumba negara yang beraksi dalam kategori 125cc di Kejuaraan MotoGP Dunia itu melakukan kejutan menduduki tempat ke-10 sekali gus meraih enam mata pada perlumbaan kedua di Litar Jerez, Sepanyol, minggu lalu.
Bernaung di bawah pasukan AirAsia-SIC-Ajo dengan menunggang jentera Derbi, nyata kejayaan yang diraih pelumba berusia 20 tahun itu membanggakan seluruh rakyat Malaysia, malah tidak keterlaluan untuk menyatakan kita sudah mempunyai pengganti Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, bekas pelumba negara yang juga pernah menimba pengalaman pada saingan tertinggi itu. 
Ikuti temubual wartawan Metro Ahad, SAIFUL AFFENDY SAPRAN bersama Zulfahmi.  

METRO AHAD (MA): Ceritakan serba sedikit pembabitan anda dalam sukan permotoran? 
MOHD ZULFAHMI KHAIRUDDIN (MZK): Saya bermula dengan penyertaan dalam program Aprilia Junior GP pada 2007. Pencapaian memberangsangkan dalam program itu menyebabkan Shahrol Yuzy yang juga pelatih program itu berminat mengambil saya menyertai pasukannya, Modenas Yuzy Pachi Racing Team menerusi kelas Wira epg. Selepas itu saya beralih kepada kelas Novice dan menamatkan perlumbaan musim 

pertama dengan meraih tempat keenam keseluruhan. Pada 2009, saya diberi peluang beraksi di GP Malaysia selaku pelumba wild-card dan selepas itu terpilih beraksi sepenuh musim di MotoGP.

MA: Mungkin anda boleh imbas kembali kejayaan di Litar Jerez minggu lalu?
MZK: Ia perlumbaan yang pastinya tidak akan dapat saya lupakan sepanjang hidup saya. Bermula di petak belakang secara perlahan-lahan saya ke depan sehinggalah berjaya meraih tempat ke-10 pada hujung perlumbaan. Dengan hujan lebat serta litar basah, sedikit kesilapan pasti mengundang padah.
Alhamdulillah, saya bernasib baik kerana dapat mengawal situasi itu dengan baik dan tidak terjatuh. Sebenarnya, saya juga lebih gemar berlumba ketika hujan.


MA: Adakah anda yakin mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-10?
MZK: Secara jujur, saya tak percaya meraih kejayaan sejauh ini. Tapi Alhamdulillah, berkat pengalaman berlumba sejak 2009 akhirnya membuahkan hasil. Tahun ini sasaran sebenar saya hanyalah mahu memperbaiki gaya tunggangan serta mengatasi pungutan mata tahun lalu. Kejayaan ini pasti meningkatkan lagi semangat untuk meraih lebih banyak mata.


MA: Adakah faktor jentera Derbi menyebabkan anda mampu memecut lebih laju selepas menggunakan jentera Aprilia tahun lalu?
MZK: Tidak banyak beza antara jentera Derbi mahupun Aprilia. Cuma saya rasakan pasukan yang diwakili kali ini lebih baik daripada pelbagai sudut.
Antaranya pelarasan motor yang baik sebelum bermulanya perlumbaan serta rakan sepasukan banyak mengajar gaya tunggangan yang betul. Senang cerita, cara bekerja dalam pasukan baru ini berbeza berbanding musim lalu.


MA: AirAsia-SIC-Ajo adalah pasukan pilihan dan selain anda, ia dibarisi dua pelumba lain yang cukup hebat. Tidakkah anda berasa tertekan berada dalam pasukan ini?
MZK: Tidak, saya tidak pernah memikirkan soal itu. Apa yang penting bagi saya adalah mencapai sasaran peribadi iaitu meraih sebanyak mungkin mata melebihi pencapaian tahun lalu. Alhamdulillah, pada perlumbaan kedua saya sudah meraih enam mata sekali gus mengatasi pencapaian empat mata sepanjang tahun lalu. Bermakna, peluang saya untuk meraih mata pada perlumbaan seterusnya amat cerah. Memanglah kalau dinilai keupayaan jentera, motosikal saya tidak sebaik dua rakan sepasukan. Tapi dengan pelarasan yang baik, akhirnya saya mampu juga bersaing dengan pelumba lain.


MA: Apa yang anda fikirkan setiap kali berlumba?
MZK: Saya hanya mahu melakukan yang terbaik, itu yang lebih penting. Pada saingan MotoGP ini apabila setiap kali berlumba, saya mahu pastikan tunggangan saya lebih baik berbanding perlumbaan sebelumnya. Alhamdulillah, selepas dua musim, saya memperoleh banyak pengalaman berharga dan menambah keyakinan untuk melakukan yang terbaik pada masa depan.


MA: Tidakkah anda rasa bertuah diberi peluang sehebat ini berbanding pelumba lain yang hanya beraksi di saingan tempatan.
MZK: Benar, saya memang rasa amat bertuah. Saya tidak pernah bergelar juara di saingan tempatan seperti Cub Prix tapi peluang sebegini ternyata memberi harapan besar kepada masa depan saya. Untuk itu, saya mahu buktikan mampu bersaing di peringkat antarabangsa sekali gus mengharumkan nama negara.


MA: Harapan anda pada perlumbaan seterusnya di Portugal?
MZK: Pertama, saya harap keadaan cuaca baik kerana dengan cuaca yang baik, setiap pelumba termasuk saya akan dapat melakukan catatan masa terbaik sekali gus memperoleh permulaan terbaik. Tahun lalu, saya menduduki tempat ke-15 dan meraih satu mata. Litar di Portugal lebih teknikal, berbeza dengan litar lain. Bagaimanapun, saya menggemari litar ini. Andai tidak dapat berada pada kedudukan 10 terbaik, dapat memperoleh mata sudah cukup baik bagi saya.

No comments:

Post a Comment