Saturday 9 April 2011

Pro Tempatan dapat bantuan dari Sime Darby

TAHUN lalu kumpulan Sime Darby buat pertama kali menghangatkan dunia golf tempatan apabila menganjurkan Sime Darby LPGA Malaysia.
Kejohanan itu buat pertama kali mengumpulkan nama-nama besar dalam golf wanita dunia untuk datang dan beraksi di negara ini.
Di sebalik apa yang dilakukan Sime Darby itu, timbul juga persoalan apa sumbangan kejohanan yang begitu besar perbelanjaannya terutama dari segi wang hadiah kepada perkembangan golf tempatan?
Malah ada suara-suara skeptikal yang mengatakan korporat tempatan lebih suka buang duit untuk orang luar daripada mengeluarkan sedikit belanja untuk membangunkan bakat tempatan.
Ia ibarat kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan.
Namun, bagi Sime Darby komitmennya bukan sekadar membawa kejohanan besar seperti LPGA ke bumi Malaysia.
Syarikat korporat itu turut menyokong dan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan apabila lapan pemain profesional negara yang layak beraksi pada kejohanan Maybank Terbuka Malaysia (MMO) April ini diberi keistimewaan untuk menggunakan segala kemudahan yang terdapat di Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC) yang merupakan lokasi MMO tahun ini.
Pemain terlibat ialah Ben Leong, Danny Chia, Iain Steel, M. Sasidaran, S. Siva Chandran, Airil Rizman Zahari, Shaaban Hussin dan Md. Rashid Ismail.
Setiap pemain ini akan diberikan keahlian sementara KLGCC yang membenarkan mereka untuk menggunakan kemudahan yang terdapat di kelab berprestij itu seperti green latihan, driving range dan kemudahan kelab yang lain.
Ia untuk membolehkan mereka membiasakan diri dengan lapangan itu sebelum beraksi bersama-sama bintang-bintang dunia pada MMO April ini.
Semua pemain yang layak mendapat keistimewaan itu ditentukan oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan baru-baru ini telah menerima kad keahlian sementara KLGG daripada Pengurus Besar KLGCC, Robert Bird.
Pengarah KLGCC Datuk Tunku Putra Badlishah berkata, pihaknya gembira dapat berperanan membantu bakat-bakat tempatan dalam membuat persediaan bagi menghadapi MMO 2011 di mana pemain-pemain tempatan itu bakal berhadapan dengan cabaran daripada pemain terbaik dunia.
Selain itu KLGCC yang merupakan anak syarikat milik Sime Darby turut mengadakan Program Pembangunan Junior Elit Kebangsaan dalam usaha mencari dan mengenengahkan bakat dalam sukan golf di negara ini.
Matlamatnya ialah untuk melahirkan pemain golf kebangsaan yang mampu bersaing dalam kejohanan golf utama dunia termasuk pada Sukan Olimpik yang akan memperkenalkan golf sebagai salah satu acara yang dipertandingkan pada 2016.
Program ini menyaksikan bakat-bakat muda menjalani latihan seperti mana yang dilalui oleh para juara dengan tumpuan kepada ketahanan mental.
Pemain-pemain muda itu dipilih berdasarkan lapan kriteria termasuk keyakinan diri, emosi yang stabil dan kekuatan mental yang merupakan merupakan asas untuk menjadi juara.
“Kami teruja dengan program baru ini kerana bakat-bakat muda ini mempunyai peluang terbaik untuk dibentuk dan di latih dari usia yang muda.
“Kami berharap untuk melihat pemain-pemain muda ini memajukan bakat mereka dan cemerlang dalam sukan ini dan mampu membanggakan negara satu hari nanti.
“Ini selari dengan komitmen Sime Darby untuk memajukan sukan di negara ini,” kata Tunku Putra.
Presiden MGA, Datuk Robin Loh pula berkata, program itu sudah tentu dapat membantu meningkat potensi pemain-pemain muda terbabit.
“Menginstitusikan program seperti ini penting untuk memajukan industri golf di negara ini terutama untuk menanam minat dalam sukan ini.
“Ini memang usaha yang berbaloi oleh Sime Darby untuk melabur dalam program yang unik ini dan menyediakan pemain-pemain golf muda dengan ruang untuk berkembang,” katanya.

No comments:

Post a Comment