Monday 11 April 2011

Janji aksi terbaik oleh Danny dan shaaban

KUALA LUMPUR - Kehadiran pemain golf ternama termasuk pemain No. 1 dunia, Martin Kaymer tidak sedikit pun mengundang rasa gentar wakil Malaysia, Danny Chia dan Shaaban Hussin menjelang Kejohanan Terbuka Malaysia Maybank 2011 yang akan bermula Khamis ini.
Menurut Danny, yang kali pertama beraksi dalam kejohanan ini pada 1998, walaupun tidak banyak menyertai kejohanan awal tahun ini akibat kecederaan pergelangan tangan, namun ia tidak bermakna dia sukar untuk memberi persembahan terbaik terutama sekali dalam negaranya sendiri.
"Saya akui saya kurang menyertai kejohanan tetapi kecederaan saya sudah sembuh sejak seminggu yang lalu, sekarang ini saya sudah bersedia 90 peratus untuk memberi aksi terbaik," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), semalam.
Jelasnya, pukulannya juga semakin baik setakat ini, malah keadaan rumput yang baik di KLGCC mampu membantu mempertingkatkan permainannya.
"Saya amat gembira melihat keadaan rumput di lapangan ini, ia sangat berbeza berbanding tahun lepas di mana ketika itu rumput masih belum tumbuh dengan baik, jadi saya harap mampu memberi permainan terbaik.
"Saya berharap dapat mengulangi pencapaian terbaik saya pada 2008 dan 2009, apa yang saya sasarkan ketika itu semuanya menjadi, saya perlu bijak untuk mengawal emosi saya, sekali kejohanan ini akan memberi pendedahan terbaik buat saya," katanya.
Danny adalah antara tiga pemain terbaik Malaysia yang layak beraksi menerusi Asian Tour Order of Merit - Maybank Ambassador bersama-sama Iain Steel dan Ben Leong.
Sementara itu, Shaaban yang dilantik sebagai Duta Maybank akan mengambil bahagian pada kejohanan yang berlangsung selama empat hari ini melalui jemputan penaja utama, Maybank dan berharap kelahiran cahaya mata pertama 10 hari lalu akan memberi tuah kepadanya.
"Cahaya mata saya itu boleh dijadikan sebagai inspirasi buat saya, dalam masa yang sama juga saya menghurungi latihan dengan baik sekali, lebih-lebih lagi kejohanan ini ramai pemain dari Malaysia.
"Saya berharap dapat mempamerkan permainan terbaik dan dapat beraksi dengan pemain ternama seperti Rory McIlroy, ini adalah penampilan kali ke-12 saya dalam kejohanan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment