Monday 11 April 2011

Wakil kita tidak mengecewakan

KUALA LUMPUR - Grand Prix (GP) Formula Satu Petronas Malaysia 2011 melabuhkan tirainya, kelmarin yang melakar satu lagi sejarah baru dalam sukan pemotoran negara ini apabila tiga pasukan yang mempunyai kaitan Malaysia bertarung merebut mahkota kejuaraan.
Lotus Renault, Team Lotus dan Mercedes GP, tiga nama yang menjadi bualan peminat tempatan.
Lebih-lebih lagi, kejayaan Lotus Renault menaiki podium buat kali kedua dan kali ini, ia dilakar di hadapan ribuan penyokong tempatan yang cukup teruja menyaksikan kejayaan menjadi milik pelumba Jerman, Nick Heidfeld.
Walaupun, tidak bergelar juara, namun menghuni tangga ketiga bukan satu kedudukan yang mudah untuk dipertahankan lebih-lebih lagi, apabila Heidfeld dicabar hebat oleh pemandu Red Bull, Mark Webber ketika saingan hanya berbaki dua pusingan.
Ternyata pertaruhan yang diletakkan oleh Lotus Renault untuk menggunakan khidmat pelumba veteran, Heidfeld yang sudah pun berusia 33 tahun jelas berbaloi di kala pasukan itu terpaksa menerima hakikat mereka kehilangan pemandu utama, Robert Kubica yang terbabit dalam kemalangan, Februari lalu.
Malah, pelumba muda Rusia, Vitaly Petrov juga tidak menghampakan biarpun dia gagal menamatkan perlumbaan setelah terbabas pada hujung saingan, namun anak muda berusia 26 tahun itu telah pun membuktikan kehadirannya bagi musim kedua ini tidak harus di pandang sebelah mata setelah dia memenangi tempat ketiga pada GP Australia, tiga minggu lalu.
Memetik kata prinsipal pasukan Lotus Renault, Eric Boullier, dia menyifatkan jentera pasukannya amat kompetitif untuk memberikan saingan kepada pasukan utama, walaupun mengakui masih belum cukup laju untuk menang perlumbaan.
Sebuah lagi pasukan Malaysia, Lotus yang diterajui oleh Datuk Seri Tony Fernandes sebagai prinsipal pasukan, musim 2011 merupakan tahun kedua buat mereka dengan mengekalkan dua pemandu yang sama iaitu Jarno Trulli dan Heikki Kovalainen.
Sebagai sebuah pasukan yang bermula dengan angka kosong, kemampuan Lotus memberikan saingan memang cukup membanggakan. Setelah muncul sebagai pasukan baru terbaik tahun lepas, Lotus tidak lagi menoleh ke belakang, mereka mahu menghuni kedudukan pertengahan pula.
Berdasarkan pemerhatian terhadap prestasi Lotus di Sepang, catatan masa pasukan itu ketika sesi latihan bebas tidak menghampakan. Kelajuan jentera Lotus, tidak jauh ketinggalan dengan pasukan yang berada di kedudukan pertengahan.
Pujian harus diberi kepada Ketua Pegawai Teknikal Lotus, Mike Gascoyne yang berjaya menjana jentera Lotus selaju roket, sekali pun Kovalainen sekadar di tangga ke-15 dan Trulli tidak menamatkan saingan kerana masalah pada klac.
Bagi pasukan Mercedes GP Petronas pula, musim 2011 wajar diberi perhatian, setelah gagal mengutip sebarang mata di Melbourne, mereka amat bernasib baik kerana berjaya juga mengumpul dua mata menerusi Michael Schumacher yang menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan manakala Nico Rosberg menghuni tangga ke-12.
Sebagai pasukan yang berada di kedudukan keempat keseluruhan bagi kategori pengeluar, tahun lalu, prestasi jentera Mercedes kali ini agak meragukan.
Sesuatu perlu dilakukan segera oleh prinsipal pasukan, Ross Brawn bersama pasukan teknikalnya agar sasaran untuk berada di kedudukan tiga terbaik tidak berada jauh dari jangkauan memandangkan musim ini baru sahaja bermula.

No comments:

Post a Comment