Monday 11 April 2011

Batu Kawan bakal digegar Pelumba one-make


KUALA LUMPUR - Para pelumba satu-pengeluar (one-make) Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas musim lalu bersiap-sedia untuk memberikan aksi terbaik pada penampilan kedua dalam kategori Wira musim ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang hujung minggu ini.
Pelumba-pelumba tersebut, Mohd. Hafiza Rofa (Faito YSP Racing), Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang), Mohd. Izzat Zaidi Salehan dan Mohd Syafiq Abdul Samad, merupakan lepasan Cabaran Yamaha 135LC 2010.
Mohd. Hafizuddin Azahar (Ride It Right Racing Team) berasal dari Cabaran Honda Icon 2010.
Walaupun kekurangan pengalaman, pelumba-pelumba ini cukup berani membuat penampilan dalam kategori Wira di samping berlumba di dalam kelas one-make.
Bagi mereka, penglibatan dalam kedua-dua kelas tersebut membantu mereka menimba pengalaman lebih selain membuat persiapan lebih bagi menghadapi musim 2011.
Usaha mereka jelas membuahkan hasil apabila Hafiza mencatat kemenangan Wira pertama pada perlumbaan pembuka tirai musim 2011 di Kangar, Perlis.
Fariznazreen juga cukup cemerlang apabila dia berjaya menduduki tempat kedua manakala Zulsyafiz Rosli muncul tempat ketiga.
Izzat Zaidi dan Hafizzuddin tidak kurang hebatnya apabila menamatkan saingan masing-masing di tempat keenam dan ketujuh.
Puas dengan dengan prestasi masing-masing, pelumba-pelumba ini berharap untuk lebih cemerlang pada pusingan 2 di Litar Stadium Batu Kawan hujung minggu ini.
Hafiza yang berusia 15 tahun berkata: "Pada tahun 2010 saya bersaing di dalam dua kategori iaitu Cabaran Yamaha 135LC dan juga Wira.
"Ia bukan suatu tugas yang mudah berlumba di dalam dua kelas ini memandangkan ia tahun pertama saya di dalam Cub Prix tetapi saya cukup lega melakukannya kerana ia telah membantu saya memenangi pusingan pertama di Kangar tempoh hari."

No comments:

Post a Comment