Tuesday 3 January 2012

‘Saya enggan jual pemain’ (4.1.2012)

MADRID: Jose Mourinho tidak mahu pemain Real Madrid meninggalkan kelab itu pada pintu perpindahan pemain bulan ini.
“Saya tidak akan membawa masuk pemain baru dan juga tidak mahu pemain sedia ada meninggalkan kelab ini,” kata pengendali dari Portugal itu.

“Setiap pemain mengetahuinya, begitu juga dengan lembaga pengarah kelab,” kata Mourinho menjelang saingan pusingan kelima Piala Raja-Raja di tempat sendiri bertemu Malaga. “Saya mahu memulakan dan menamatkan musim ini dengan barisan pemain sama.” Beberapa pemain dalam skuad sedia ada yang jarang diberi peluang untuk diturunkan dikatakan akan berhijrah ke Liga Perdana Inggeris, antaranya termasuk pemain pertahanan Sepanyol, Raul Albiol dan pemain tengah, Esteban Granero. Pemain Argentina, Gonzalo Higuain yang bersaing untuk mendapat tempat di bahagian serangan bersama pemain antarabangsa Perancis, Benzema dilapor turut menjadi sasaran Chelsea. Mengenai perlawanan menentang Malaga, Mourinho berkata, lawan mereka itu tampak lebih ampuh selepas membelanjakan lebih 100 juta euro (RM413 juta) untuk membeli pemain sejak kelab itu dimiliki keluarga diraja Qatar pada Jun tahun lalu.
“Kita bercakap mengenai pasukan yang melakukan pelaburan besar dan sudah pasti mereka mahukan pulangan berbaloi. Saya rasa mereka pasti mahu memenangi piala ini,” kata Mourinho.

Jika Malaga menewaskan Real yang juga juara bertahan, lawan mereka pada saingan suku akhir adalah naib juara musim lalu, Barcelona atau Osasuna. - Reuters

No comments:

Post a Comment