Tuesday, 3 January 2012

Dua calon hadir (4.1.2012)

HANYA dua calon hadir hari pertama temuduga calon Pegawai Prestasi Tinggi (HPD) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam dengan kedua-duanya membabitkan bekas ketua jurulatih iaitu Razif Sidek dan Yap Kim Hock.
Setiausaha Kehormat BAM Ng Chin Chai enggan mengulas mengenai dua calon terbabit kerana tidak mahu mempengaruhi proses pemilihan.

Begitupun dua calon yang hadir semalam cukup menarik perhatian kerana hadir dengan penampilan berbeza dan mengutarakan visi yang membezakan kualiti antara kedua-duanya.
Razif yang ditemuduga lebih sejam oleh panel penemuduga yang membabitkan tiga wakil BAM iaitu Chin Chai, Kenny Goh (Pengurus Besar BAM) dan Chandra Jagadish (Ahli Majlis BAM-Setiausaha Kehormat SBA) serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz dan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) Johari Abd Wahab nampaknya mempunyai visi lebih jelas berbanding Kim Hock.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan 1994-1996 itu berkata, jika terpilih menjadi HPD, beliau mahu memastikan program terbaik bagi mencapai tiga objektif utama.

“Jika terpilih, saya semestinya memastikan program yang dirancang mencapai kejayaan dengan misi mengembalikan kegemilangan Piala Thomas yang kali terakhir kita menangi pada 1992,” katanya selepas ditemuduga panel penemuduga di pejabat BAM, di bukit Kiara semalam.
“Selain itu juga, sebagai HPD, kami perlu memastikan negara meraih emas pertama di Sukan Olimpik selain kejuaraan Kejohanan Dunia pertama dimenangi pemain Malaysia.

“Tiga kejohanan ini adalah yang terbesar dalam badminton. Setakat ini di Kejohanan Dunia kita hanya memenangi pingat perak, begitu juga Olimpik.” Menurut Razif, beliau faham tugasan HPD amat berat selain berasakan BAM bertindak bijak mencari calon yang sempurna.
Namun katanya calon yang sempurna bukanlah isu sebenar kerana sesiapapun dilantik sebagai HPD tetap perlu bekerjasama dengan MSN dan ISN.

Begitupun beliau berharap sesiapapun yang dilantik perlu berbincang dengan Datuk James Selvaraj untuk mendapatkan pandangan apa yang dirancang HPD separuh masa itu, baik dari segi sasaran jangka panjang mahupun program disediakan sebelum ini.

Mengenai sesi temu duga yang dilaluinya, beliau berkata semuanya berjalan lancar cuma satu soalan yang beliau enggan menjawab kerana merasakan jawapan terbabit hanya sesuai dijawab jika terpilih sebagai HPD.

“Hari ini (semalam) mereka lebih kepada meminta pandangan dan rancangan saya jika menjadi HPD tapi saya tidak beri sepenuhnya kerana belum menjadi HPD lagi.” Sementara itu, Kim Hock pula melemparkan visinya untuk memajukan lagi badminton negara jika dilantik sebagai HPD.

“Kalau jadi HPD saya nak majukan lagi sukan ini kerana itulah tugas seorang HPD. Saya juga perlu merealisasikan matlamat di London tercapai, saya rasa itu penting untuk jangka pendek,” kata kim Hock.

“Untuk jangka panjang pula kita perlu meningkat, kita perlukan lebih ramai pemain berkualiti yang boleh capai keputusan di peringkat antarabangsa.” Katanya, perbezaan antara ketua jurulatih dan tugasan HPD adalah jawatan itu perlu membantu jurulatih memberi idea dalam teknikal kemahiran untuk meningkatkan kualiti latihan bagi membolehkan pemain meningkatkan ranking dunia.

Beliau yang menjadi ketua jurulatih kebangsaan pada 2004-2008 itu berkeyakinan tinggi untuk dipilih BAM sebagai HPD yang baru.

Bagaimanapun, Chin Chai berkata, masih ada tiga calon untuk ditemuduga minggu ini tetapi beliau berahsia mengenai siapa calonnya biarpun ada beberapa lagi wakil BAM menegaskan hanya dua calon dipanggil untuk temu duga.

No comments:

Post a Comment