Tuesday 3 January 2012

Federer yakin nasib berubah (4.1.2012)

DOHA: Pemegang rekod Grand Slam, Roger Federer percaya keupayaannya mengatasi kesakitan menjadi punca dia mampu memberikan cabaran untuk kembali merebut gelaran utama 2012.
Sehari sebelum mempertahankan gelaran Terbuka Qatar, Federer menafikan faktor usia akan menyekat dirinya untuk terus melakar kemenangan pada usia 31 tahun.

“Saya gembira dapat terus beraksi dengan baik. Saya amat yakin kunci kejayaan adalah berapa banyak anda dapat beraksi dengan baik,” katanya.
“Tapi perlu melihat kepada aspek yang lebih meluas dan jangka panjang, bukan hanya berfikir untuk masa ini sahaja. “Saya tidak cemas apabila tewas beberapa perlawanan tahun lalu. Sebenarnya saya berjaya bukan kerana mampu mengekalkan tahap permainan yang baik pada hujung musim,” katanya mengulas 17 kemenangan berturut-turut dan tiga gelaran hujung tahun lalu.

“Saya langsung tidak bimbang kerana tidak mampu memenangi keseluruhan musim kerana yang penting, saya dapat berfikir, merancang dengan teratur untuk menetapkan semua sasaran.

“Ada kalanya anda perlu menempuhi saat sukar untuk menjadi pemain sempurna. Saya menanggung terlalu banyak kesakitan sepanjang kerjaya justeru saya mampu bermain dengan baik.” Federer juga berharap mengekalkan rekod tanpa kalah, mengekalkan fizikal, kondisi dan minda sebagai alasan mengapa dia boleh bermula dengan baik tahun ini.
Dia merasakan tempoh antara kejohanan terakhir di London tidak begitu lama dan tahap keyakinan tinggi memudahkan untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan antara bermain dalam dewan di Eropah dan gelanggang luar.

“Ia memerlukan beberapa perubahan tapi anda hanya perlu percaya boleh melakukan perkara tepat dalam gelanggang. Anda tidak boleh meragui keputusan diri sendiri.
“Keyakinan penting dalam kehidupan sebagai pemain tenis. Saya sedia menempuh musim baru. “Saya berasa cergas dan bersedia untuk bertarung. Biarpun musim 2011 panjang dan sukar, saya dapat rehat dan persiapan yang cukup dan bersedia menghadapi musim baru.” - AFP

No comments:

Post a Comment