Wednesday 4 January 2012

‘Sukar bebas’ (5.1.2012)

BIARPUN dua atlet negara yang merangkul pingat di Sukan Sea Indonesia, November lalu belum didapati bersalah, namun kemungkinan untuk mereka bebas daripada kesalahan itu tipis.
Perkara itu dijelaskan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz yang juga ahli jawatankuasa Anti-Doping Malaysia (Adamas).

Katanya, kemungkinan untuk sampel B itu negatif tipis kerana ujian itu adalah hasil daripada air kencing sama cuma diletakkan dalam botol berbeza.
“Jika sampel A sudah positif kebarangkalian untuk sampel B juga adalah sama,” katanya.

Ramlan turut mengulas perkara ini berlaku adalah kerana kebanyakan atlet dan jurulatih di negara ini tidak mempunyai pengetahuan yang serius mengenai isu doping. Katanya, tanpa sokongan daripada jurulatih dan pegawai yang berkaitan, perkara sebegini akan terus berulang biarpun ia membabitkan maruah negara. “Kita tidak boleh bertolak ansur mengenai perkara sebegini. ISN mementingkan kesucian atlet daripada dadah dan jika boleh kami mahu semua pihak memandang serius mengenainya,” katanya. Katanya lagi, tiada guna menghantar atlet berlatih dan menyertai pertandingan ke luar negara namun akhirnya membazirkan wang rakyat apabila didapati positif dadah. Terdahulu dua atlet negara yang meraih pingat pada temasya Sukan Sea Indonesia, November lalu menerusi acara olahraga dan angkat berat, didapati positif ujian doping sampel A. Perkara itu disahkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagaimanapun identiti atlet terbabit tidak akan didedahkan sehingga keputusan sampel B diketahui minggu.

Pada temasya sukan dwi-tahunan tersebut Malaysia berjaya meraih 59 pingat emas, 50 perak dan 82 gangsa dan jika atlet olahraga dan angkat berat itu didapati bersalah ia akan menjejaskan jumlah pungutan kontinjen negara.
Kali terakhir atlet negara positif ujian doping di Sukan Komanwel New Delhi 2010 apabila pemain ragbi, Mohd Amin Jamaluddin, 23, didapati menggunakan kanabis yang menyebabkan dia dikenakan penggantungan enam bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Lembaga Ragbi Antarabangsa (IRB). Pada Sukan Asia di Busan 2002, trio sepak takraw, Mohd Firdaus Abdul Ghani, Mohd Hanif Azman dan Mohd Aznan Raslan dihantar pulang selepas didapati positif morfin dan digantung dua tahun.

No comments:

Post a Comment