Wednesday 4 January 2012

‘Kami tetap berbangga’ (5.1.2012)

PASUKAN bola jaring Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka tetap berbangga walaupun sekadar meraih tempat ketiga pada Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Menteri Melaka, di Stadium Hang Tuah, baru-baru ini.
Kejayaan itu membolehkan mereka meraih RM1,000 dengan juara milik Umno Kluang (RM3,500) dan naib juara Umno Padang Terap, Kedah (RM3,000).

Pengurus pasukan, Zaleha Amad berkata, wang tunai bukan matlamat utama sebaliknya membantu penganjur mencatat rekod Malaysia 41 jam tanpa henti.
Menurutnya, pemain yang juga pelajar kampus UiTM Alor Gajah dan Kampus Bandaraya Jalan Hang Tuah kepenatan selepas berkampung tiga hari dua malam di stadium itu.

“Kegigihan itu membuahkan hasil dengan menduduki tempat ketiga,” katanya.

Beliau berkata, walaupun mengharungi saingan dalam cuaca panas, berhujan dan berembun selain padang becak namun semangat pemain amat membanggakan.
“Kami belum pernah melalui saingan sedemikian. Namun, pengalaman ini amat bermakna buat pasukan yang bertekad mencipta kejayaan pada Karnival Sukan Mahasiswa UiTM Malaysia 2012,” katanya.

“Sokongan semua pihak termasuk pengurusan UiTM Melaka membantu kejayaan ini,” katanya.
Zaleha berkata, UiTM Melaka bertekad menyertai lebih banyak kejohanan bagi mematangkan prestasi pasukan. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

No comments:

Post a Comment