Tuesday 3 January 2012

Tottenham tetap di hati Klinsmann (4.1.2012)

HUNTINGTON BEACH (California): Juergen Klinsmann kekal meminati Tottenham Hotspur lebih sedekad selepas meninggalkan kelab Utara London itu dan jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS) yang baru itu sentiasa mengikuti perkembangan bekas kelabnya itu.
Klinsmann berkata, beliau amat gembira melihat bekas pasukannya itu menjadi pencabar kelompok atasan Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana pasukan itu memiliki elemen pasukan juara, kuat, stabil, konsisten dan kesabaran.

“Mereka layak untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas dan tahun ini mungkin mampu melakukan lebih baik dengan sedikit tuah,” kata bekas penyerang kebangsaan Jerman itu selepas Spurs menamatkan musim 2011 di tempat ketiga.
Klinsmann masih dihormati di White Hart Lane yang menyaksikan dia menyarung jersi Spurs pada musim 1994-95 dan 1997-98.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan kelab ini kerana ia amat istimewa,” katanya.

“Spurs kini nampak kukuh untuk bersaing di Liga Juara-Juara. Segala-galanya melalui proses secara berperingkat. Pemilik kelab amat sabar. Mereka tahu ia akan mengambil masa dan mereka juga memberi ruang kepada Harry Redknapp.” Klinsmann menikmati kenangan manis di Spurs apabila meledak 29 gol pada musim pertamanya iaitu ketika mereka turut melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA. Dia juga muncul pemain Jerman pertama menerima anugerah Pemain Terbaik Bola Sepak England sejak era penjaga gol Manchester City, Bert Trautmann pada 1956. Dia kembali ke Tottenham secara pinjaman pada 1998, membantu Spurs mengelak daripada zon penyingkiran dengan meledak sembilan gol termasuk empat daripadanya ketika menang 6-2 di Wimbledon yang memastikan Spurs kekal beraksi di saingan utama.
Klinsmann berkata, Redknapp dan pengerusi, Daniel Levy sudah melakukan tugas yang cemerlang.

“Mereka membentuk elemen kestabilan dan konsisten sejak beberapa tahun lalu dan kini anda sendiri dapat melihat hasilnya,” katanya. “Skuad ini amat bagus, terutama di bangku simpanan. Pemilik kelab memberi kebebasan kepada Redknapp menjalankan tugasnya.

“Daripada sudut kestabilan, pasukan ini sememangnya boleh bersaing. Pastinya amat seronok kerana mereka adalah pasukan yang menghiburkan.” - Reuters

No comments:

Post a Comment