Wednesday 4 January 2012

Makaf nilai tiga calon (5.1.2012)

BEKAS jaguh karate negara, R Puvaneswaran (gambar) adalah antara tiga calon yang berada dalam senarai pendek Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) bagi menggantikan tempat bekas jurulatih kumite negara, P Arivalagan yang kontraknya tamat 31 Disember lalu.
Selain Puvaneswaran yang kini memikul tugas jurulatih skuad pelapis negara, dua lagi calon yang sudah dikenal pasti adalah dari Latvia serta Iran.

Jurulatih terpilih akan diketahui sekitar Mac iaitu selepas Exco Makaf mengadakan perbincangan dan membuat keputusan mutlak. Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Makaf, Vincent Chen tapi beliau enggan mendedahkan nama kedua-dua calon itu sebaliknya hanya menyatakan mereka mempunyai pengalaman luas dan pernah membimbing skuad kebangsaan masing-masing.
“Kedua-dua calon jurulatih dari Latvia dan Iran itu dipilih selepas mendapat pandangan daripada Antonio Oliva iaitu penasihat kejurulatihan untuk Makaf,” katanya.

Vincent berkata, beberapa kriteria perlu diambil kira sebelum Makaf membuat keputusan mutlak melantik salah seorang daripada tiga calon itu bagi menggantikan tempat Arivalagan.

“Antaranya setiap calon mesti mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan dan pernah melatih skuad kebangsaan,” katanya.
Untuk Puvaneswaran pula, Vincent berkata, Makaf daripada masa ke semasa akan menilai prestasi pemenang dua pingat emas di pentas Sukan Asia itu selepas diberi peluang melatih skuad pelapis ketika ini.

“Kami tidak nafikan setakat ini dia cukup bagus dalam mengendalikan skuad pelapis. “Malah ketika ini iaitu selepas ketiadaan Arivalagan, Makaf memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi jurulatih sementara skuad karate kumite elit negara.
“Tapi kami akan melihat prestasinya dalam tempoh dua tiga bulan lagi. Peluangnya untuk menjadi jurulatih skuad elit tetap ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment