Wednesday 4 January 2012

Ramdan tekad tingkat prestasi (5.1.2012)

KEJUARAAN Cub Prix AAM Malaysia Petronas musim 2011 dipenuhi pelbagai suka dan duka buat pelumba muda, Mohd Ramdan Mohd Rosli namun remaja berusia 16 tahun itu menerima segala cabaran dihadapinya dengan positif dan tidak menjadikannya alasan untuk berhenti daripada memikirkan tentang masa depannya dalam dunia perlumbaan motosikal.
Sebaliknya, pelumba muda CP130 yang menamatkan saingan musim lalu di tangga ketujuh keseluruhan dengan 84 mata sudah tidak sabar untuk memulakan musim 2012 dan bertekad meningkatkan lagi prestasinya ke tahap lebih tinggi di pentas nasional dan antarabangsa.

Mengulas perancangannya musim ini, pelumba kelahiran Klang itu berkata, dia lebih yakin untuk merebut gelaran tahun ini selepas menimba banyak pengalaman berharga tahun lalu.
“Walaupun tidak memenangi CP130 namun ia bukan bermakna saya gagal. Sebaliknya saya sudah memperoleh banyak pengalaman baru bersaing dengan pelumba senior. “Ini membantu saya meningkatkan corak tunggangan, pengetahuan teknikal dan paling penting, cara mencatatkan masa terbaik ketika sesi Superpole. “Segala ilmu yang diperoleh akan saya praktik bagi mempamerkan prestasi lebih baik tahun ini di samping meningkatkan peluang merebut gelaran juara keseluruhan,” kata pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha AHM Racing itu.

Ramdan turut sudah bersedia untuk beralih ke saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Petronas dan juga beberapa Kejuaraan lain.

No comments:

Post a Comment