Wednesday 4 January 2012

Gallas, Sandro rehat panjang (5.1.2012)

LONDON: Pengurus Tottenham, Harry Redknapp bimbang William Gallas dan Sandro mungkin terpaksa berehat untuk jangka masa panjang selepas mengalami kecederaan betis ketika menewaskan West Bromwich Albion, 1-0, semalam.
Pemain tengah Brazil, Sandro terpaksa dikeluarkan pada babak pertama di White Hart Lane akibat kecederaan betis manakala pemain pertahanan tengah Perancis, Gallas pula digantikan dengan pemain lain pada babak kedua kerana kecederaan sama.

Redknapp memaklumkan, kedua-dua pemain itu akan menjalani ujian imbasan hari ini.
Kehilangan pemain bagi tempoh yang lama akan menjejaskan peluang Tottenham mencabar kejuaraan Liga Perdana.

“Mereka akan menjalani ujian imbasan esok (hari ini) dan kami akan lihat kedudukan sebenar mereka,” katanya.

Redknapp kini turut kehilangan pemain tengah England, Scott Parker dan Aaron Lennon akibat kecederaan namun beliau menegaskan tidak terdesak untuk membeli pemain baru bagi menguatkan skuadnya.
“Tiada sebab untuk saya bertemu pengerusi kerana saya tidak berhasrat membeli pemain baru,” tambahnya. - AFP

No comments:

Post a Comment