Wednesday 4 January 2012

Cengkaman jaguh dunia (5.1.2012)

DOHA: Roger Federer mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pilihan utama di Terbuka Australia lewat bulan ini apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Qatar manakala saingannya, Rafael Nadal turut meneruskan perjuangan selepas terselamat daripada keadaan berangin di Doha, semalam.
Federer yang berharap merangkul gelaran grand slam yang ke-17 di Melbourne lewat bulan ini, menundukkan pemain Russia, Nikolay Davydenko 6-2, 6-2 dalam tempoh kurang daripada satu jam dalam keadaan angin kencang.

Bagaimanapun Nadal berdepan nasib berbeza apabila bangkit di set kedua untuk menewaskan pemain Jerman, Philipp Kohlschreiber 6-3, 6-7, 6-3 selepas bertarung dua jam setengah.
Pilihan ketiga Jo-Wilfried Tsonga berdepan situasi sama apabila terpaksa bertarung tiga set sebelum mengalahkan pemain Tunisia, Malek Jaziri, 7-6, 6-7, 6-1.

Federer gembira kerana mempunyai masa pada sebelah malam untuk menjalani latihan.

“Saya mempamerkan kombinasi permainan yang sangat baik dan Davydenko gagal menemui rentak seperti pertemuan kami sebelum ini. Kemenangan ini langkah penting untuk meneruskan perjuangan.” Pemain Swiss berusia 30 tahun itu gagal merangkul gelaran grand slam sejak merangkul trofi Terbuka Australia pada 2010 namun keinginan untuk terus menang sentiasa membara.
“Jika tidak mempunyai motivasi, anda akan kerugian disebabkan kurangnya tumpuan,” kata Federer.

“Fokus perlu tepat dan banyak pengorbanan perlu dilakukan sepanjang karier tapi akan memperoleh pulangan dan hanya perlu beringat betapa bertuahnya diri ini.” Nadal pula tewas di Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic yang juga juara 2011 puas hati dengan persembahannya di Doha apabila pulih daripada kecederaan bahu dan bertukar kepada raket baru.

“Saat saya tidak dapat bermain dengan baik adalah di awal set kedua dan selepas tiebreak. Keseluruhan saya rasa saya memberikan aksi terbaik,” kata Nadal.

“Bahu saya sudah pulih. Saya dapat merasai sesuatu di awal latihan tapi selepas tiga, empat minit kemudian apabila memanaskan badan saya merasakan bahu sudah pulih sepenuhnya.” - Reuters

No comments:

Post a Comment