Wednesday 4 January 2012

Spurs pencabar utama: Redknapp (5.1.2012)

LONDON: Harry Redknapp percaya Tottenham mampu menjadi pencabar utama merebut gelaran Liga Perdana buat kali pertama musim ini.
Spurs mengekalkan tekanan terhadap pendahulu Manchester City dan pasukan di tangga kedua, Manchester United selepas menewaskan West Bromwich Albion, 1-0 di White Hart Lane, semalam.

Kelab utara London itu ketinggalan enam mata di belakang City dan andai pasukan di tangga kedua, Manchester United menang di Newcastle awal pagi tadi, Spurs masih boleh merapatkan jurang kepada tiga mata dengan dua pasukan teratas itu jika menewaskan Everton di laman sendiri Rabu depan.
Spurs kini beraksi kurang satu perlawanan berbanding City dan United.

Redknapp masih belum menganggap Tottenham boleh memenangi gelaran, namun beliau percaya mereka kini boleh dianggap sebagai ancaman kepada dua kelab Manchester itu.

“Saya tidak tahu mengenai pasukan juara namun kami mempunyai kemampuan melakukannya. Kami perlu percaya dengan diri kami sendiri dan terus berusaha. Tidak ada apa yang mustahil,” kata Redknapp.
“Ini adalah aksi terbaik separuh musim memandangkan kami tewas dua perlawanan awal dan masih memungut banyak mata.

“Kami berada dalam kedudukan untuk merebut kejuaraan dan masih banyak yang perlu dilakukan bagi baki saingan kedua musim ini.” Selepas pusingan ketiga Piala FA menentang kelab kerdil Liga Dua Cheltenham, anak buah Redknapp akan memberi tumpuan kepada pertembungan penting dengan Everton.
Jika Tottenham mahu terus mengekori City dan United, perlawanan itu amat penting untuk dimenangi dan Redknapp mahu pemain berwaspada berikutan keputusan mengejut yang dialami pasukan pilihan pada Krismas baru-baru ini.

“Anda tidak akan melihat pasukan hebat kalah setiap minggu. Anda cuma boleh melihat beberapa keputusan mengejut,” katanya.

“Blackburn menang di United, Sunderland menewaskan City dan Fulham mengalahkan Arsenal. Tidak ada perlawanan yang mudah dalam liga ini.

“Kami akan mengharungi beberapa perlawanan sukar selepas ini. Everton akan berkunjung ke sini dan mereka liat untuk dikalahkan.” - AFP

No comments:

Post a Comment