Tuesday 3 January 2012

Norizan enggan tabur janji manis (4.1.2012)

MENYEDARI hakikat tiada yang dapat mengatasi ketentuan takdir, ketua jurulatih Perak, Norizan Bakar enggan menjanjikan apa-apa mengenai peluang Seladang dalam kempen Liga M 2012 bermula 10 Januari nanti .
“Yang pasti kami akan cuba sedaya upaya. Seperti pasukan lain kami juga ada sasaran dan ingin mencapainya. Justeru kita perlu reda dengan ketentuan illahi ,” katanya mengulas sasaran Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang mahukan satu gelaran musim ini.

Cabaran itu dilontar Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika berucap pada majlis memperkenalkan skuad Liga Super Perak di kediaman Menteri Besar Perak di Ipoh, kelmarin.
“Itu satu cabaran kepada pasukan dan InsyaAllah kami akan berusaha melaksanakannya,” katanya.

Perak memulakan kempen bertemu juara Piala FA, Terengganu di Ipoh pada Selasa diikuti pertemuan dengan musuh tradisi, Selangor di tempat lawan selepas itu.

Norizan bagaimanapun tidak menganggap kedua-dua perlawanan mem punyai sebarang keistimewaan sebaliknya pertemuan biasa yang perlu ditempuhi anak buahnya lambat laun nanti.
Mengenai keupayaan Perak, jurulatih itu berkata, masih banyak kerja perlu dilakukan kerana terdapat kelemahan dan kepincangan dalam pasukan ketika ini. “Masih ada bahagian longgar yang perlu diperkemas dan diperketatkan. Saya punyai sedikit masa lagi untuk melakukannya sebelum turun ke medan pertempuran,” katanya.

Sebagai ujian terakhir Norizan mengadakan perlawanan persahabatan terakhir dengan USM FC di Stadium Perak, malam tadi dengan harapan dapat meningkatkan lagi persefahaman gandingan.

No comments:

Post a Comment