Tuesday 3 January 2012

Ambil atlet luar bukan agenda utama (4.1.2012)

MENGAMBIL altet yang mempunyai kerakyatan negara luar bukan menjadi agenda utama Majlis Sukan Negara (MSN) biarpun ketika ini negara jiran, Singapura menggunakan pendekatan itu.
Ketua Pengarah MSN, DatuK Zolkples Embong menegaskan perkara itu selepas diminta mengulas mengenai bekas jurulatih terjun negara, Huang Qiang yang mewakili China sebelum ini dikatakan akan mewakili Malaysia selepas mendapat kerakyatan negara kerana berkahwin.

Katanya, MSN sentiasa menggunakan pendekatan terbuka untuk menyenaraikan seorang atlet itu sekiranya dia mempunyai bakat selain mempunyai peluang dan ruang untuk pergi lebih jauh.
“Mengambil atlet luar bukan agenda utama kita. Kita masih lagi memberi keutamaan kepada atelt sendiri kerana perkara sebegini mempunyai pro dan kontranya. “Tapi kita juga tidak menolak sekiranya seseorang atlet itu ternyata boleh membantu negara untuk melakarkan nama di peringkat lebih tinggi kerana bagi saya, Huang Qiang itu masih lagi berkeupayaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa biarpun sudah berusia 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) sudah lama berusaha membantu Huang Qiang mendapat kerakyatan Malaysia, namun kekangan beberapa faktor menyebabkan proses itu menjadi lambat.

“Pada awalnya, memang kita tidak merancang untuk menjadikannya sebagai atlet negara dan pelantikannya pada dasarnya adalah menggalas tugas jurulatih dan rakan sepelatih kepada semua atlet terjun. Tapi keadaan sekarang ini membolehkannya untuk beraksi dan tidak salah dia disenaraikan.
“Sekiranya dia layak ke Sukan Olimpik, dia akan tetap diberi layanan sama seperti atlet kita yang lain,” katanya yang memaklumkan hingga kini seramai tiga atlet negara melayakkan diri terdiri - Bryan Nickson Lomas, Yeoh Ken Nee dan Pandelela Rinong selain mengharapkan seorang lagi atlet negara Leong Mun Yee turut layak. Bagaimanapun Zolkples berkata, sama ada bekas juara dunia 1997 itu mempunyai tempoh latihan yang cukup untuk layak ke Sukan Olimpik kerana hanya tinggal satu lagi pertandingan kelayakan iaitu di Kejohanan Terjun Dunia di London, Februari depan.

No comments:

Post a Comment