Tuesday, 3 January 2012

Caroline masih gah dalam penat (4.1.2012)

PERTH (Australia): Pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki tiba sejam sebelum perlawanan, namun kepenatan kerana penerbangan tidak menghalangnya untuk mencatatkan kemenangan dalam aksi Piala Hopman, semalam.
Dia mencatatkan kemenangan 7-6, 6-2 ke atas pemain Amerika Syarikat, Bethanie Mattek-Sands selepas tiba daripada Thailand kerana beraksi untuk perlawanan amal.

Caroline yang bergandingan dengan Frederik Nielsen melakar kejutan ke atas Mattek-Sands dan Mardy Fish, 7-5, 6-3 dalam pertarungan beregu campuran membolehkan Denmark menang 2-1 ke atas Amerika Syarikat dalam saingan Kumpulan A.
Caroline berkata, ia satu pengalaman luar biasa apabila terpaksa beraksi awal sejurus tiba.

“Ini kali pertama saya melakukan perkara sebegini dan sedikit gementar terhadap tindak balas tubuh saya. Saya tidak sempat ke hotel dan dari lapangan terbang terus ke gelanggang latihan.

“Tapi apabila berada di sana saya tidak lagi memikirkannya.” Dalam satu lagi pertarungan Kumpulan A, pemain nombor dua dunia, Petra Kvitova dan Tomas Berdych menang pertarungan perseorangan untuk membolehkan Republik Czech mencatat kemenangan 2-1 ke atas Bulgaria. - AFP

No comments:

Post a Comment