Tuesday 3 January 2012

PTAM nilai peluang (4.1.2012)

PERSATUAN Tinju Amatur Malaysia (PTAM) mengambil langkah berhati-hati agar tidak membuat sebarang kesilapan dalam menamakan kategori berat badan yang bakal disertai peninju negara pada kejohanan kelayakan Olimpik London bagi zon Asia di Astana, Kazakhstan, penghujung Mac ini.
Percaturan yang tepat akan memastikan peluang peninju negara mampu mara ke peringkat tertinggi dan seterusnya merebut kuota yang ditawarkan pada kejohanan terakhir kelayakan benua Asia ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Setiausaha Kehormat, Mejar (B) Maulud Othman menjelaskan perancangan awal PTAM adalah dengan menghantar tiga peninju iaitu Mohd Farkhan Haron, Khir Akyazlan Azmi dan Mohd Fairuz Azwan Abdullah namun ia bergantung kepada keputusan jawatankuasa pemilihan persatuan sebelum dibentangkan bagi mendapat kelulusan Majlis Sukan Negara.
“Namun kategori berat badan yang bakal disertai tiga peninju ini masih belum diputuskan. Kami masih meneliti senarai peninju dari Asia yang belum layak ke Olimpik dan menghadirkan saingan kepada peninju negara dengan keputusan mengenainya akan dibuat pada hujung bulan ini,” katanya.

Pemenang pingat emas Sukan Sea 2009, Mohd Farkhan sehingga kini menjelaskan dia masih belum mengetahui kategori yang bakal disertainya sama ada bawah 69kg atau 75kg pada kejohanan terbabit walaupun ia adalah peluang terakhir untuk dirinya melayakkan diri ke Olimpik London.

No comments:

Post a Comment