Tuesday 3 January 2012

Hafiz terpaksa tarik diri (4.1.2012)

JUARA Seluruh England 2003, Muhd Hafiz Hashim kurang bernasib baik di Siri Super Terbuka Korea semalam apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan tumit kanan.
Hafiz yang beraksi di pusingan kelayakan menang set pertama 22-20 ke atas pemain Singapura Ashton Chen, namun kecederaan tumit yang dialaminya memaksa dia menarik diri ketika mendahului set kedua 18-15.

“Memang kecewa tetapi tiada siapa boleh merancang kecederaan. Saya harap dapat pulih segera,” kata Hafiz yang tidak dapat memastikan sama ada mampu beraksi di Terbuka Malaysia atau tidak.
Kecederaan Hafiz mungkin merencatkan perancangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelang pusingan kelayakan Piala Thomas apatah lagi ketika dua pemain muda badan induk badminton negara yang direncana untuk diserap ke dalam skuad kelayakan Piala Thomas, Chong Wei Feng dan Liew Daren turut gagal melepasi pusingan kelayakan.

Wei Feng gagal menyaingi pemain Denmark, Joachim Persson apabila tewas 21-15, 21-9, manakala Daren terkandas di pusingan kedua kelayakan apabila tunduk 21-23, 16-21 kepada Chan Yan Kit dari Hong Kong sekali gus hanya Datuk Lee Chong Wei menggalas cabaran negara di pusingan pertama hari ini.

Tee Jing Yi, wakil tunggal perseorangan wanita negara juga gagal ke undian utama apabila tewas kepada pemain Hong Kong Tse Ying Suet 16-21, 21-13, 19-21.
Goh V Shem-Lim Khim Wah juga kandas di pusingan kedua kelayakan apabila dijinakkan pasangan Denmark, Rasmus Bonde-Anders Kristiansen 13-21, 19-21. Justeru tinggal Koo Kien Keat-Boon Heong wakil tunggal BAM beraksi dalam undian utama hari ini bersama gandingan KLRC, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen.

Kien Keat-Boon Heong akan membuka cabaran menentang pasangan Belanda Ruud Bosch-Koen Ridder manakala Teik Chai-Bin Shen menentang gandingan Jerman Michael Fuchs-Oliver Roth.
Gandingan bebas wanita, Ng Hui Lin-Hui Ern melayakkan diri ke undian utama hari ini selepas mencapai dua kemenangan pada saingan kelayakan.

Hui Lin-Hui Ern menang 21-17, 21-18 ke atas gandingan Korea Han So Yeon-Min Kim Hyo pada perlawanan pertama sebelum mengatasi Choi A Reum-Yoo Hyun Young 10-21, 21-12, 22-20. Mereka akan berdepan cabaran pilihan kelapan dari Indonesia, Meliana Jauhari-Greysia Polii hari ini.

No comments:

Post a Comment