Tuesday 3 January 2012

‘Kami sudah kembali’ (4.1.2012)

WOLVERHAMPTON: Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas yakin pasukannya kini kembali bersaing merebut gelaran Liga Perdana selepas meraih kemenangan 2-1 pada minit-minit akhir perlawanan menentang Wolves.
Jaringan dramatik Frank Lampard pada minit ke-89 meredakan tekanan Villas-Boas apabila Chelsea menamatkan badi empat perlawanan tanpa kemenangan di Molineux.

Walaupun masih ketinggalan lapan mata di belakang pasukan tangga teratas liga serta beraksi lebih satu perlawanan berbanding dua kelab Manchester, Villas-Boas mengetepikan tanggapan pasukannya sudah boleh melupakan kejuaraan musim ini.
“Jika kami memenangi lima atau enam perlawanan berturut-turut, kami masih boleh bersaing merebut gelaran liga,” kata Villas-Boas.

“Apa yang terjadi bulan lalu membuktikan pasukan di tangga teratas juga boleh keciciran mata. Mungkin kutipan keseluruhan 90 mata sukar selepas apa yang dialami pasukan di tangga teratas.” Bagaimanapun, penjaring gol kemenangan Lampard mengaku bernasib baik kerana terselamat daripada menerima kad merah atas terjahan kerasnya ke atas Adam Hammil pada babak pertama yang menyaksikan dia hanya dilayangkan kad kuning.

Pemain antarabangsa England itu berkata: “Saya berasa takut. Saya tidak berniat jahat namun terjahan saya itu agak lambat dan mungkin bernasib baik kerana tidak dibuang padang. Saya terus meminta maaf kepada Hammill.” Pemain tengah Brazil, Ramires membuka tirai jaringan pada minit ke-54 namun Stephen Ward seakan memberikan satu mata kepada pasukan tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-84.
Selepas hanya mengutip tiga mata dalam empat perlawanan terakhir liga, kemenangan itu membakar semangat Blues dan pengurusnya mahu terus konsisten mencipta kemenangan.

“Prestasi terbaik kami setakat ini adalah meraih tiga kemenangan berturut-turut dan satu seri namun itu belum cukup baik. Kami perlu melakar lebih banyak kemenangan,” katanya.

“Kami sudah berbincang dan saya fikir kami boleh memperbaiki prestasi ini. Kami sudah belajar daripada kesilapan lalu.

“Kami menerima pelbagai kritikan namun terus fokus dengan tugas kami. Bila kami berdepan masalah sebelum ini, kami bangkit dengan mencipta tiga kemenangan penting.

“Jika meraih lima atau enam kemenangan berturut-turut, kami boleh bersaing merebut gelaran liga.” - AFP

No comments:

Post a Comment