Tuesday 3 January 2012

Ferguson jamin United menang (4.1.2012)

MANCHESTER: Sir Alex Ferguson mengharapkan tindak balas yang biasa dihasilkan Manchester United menjelang kunjungan ke Newcastle awal pagi esok.
Juara bertahan Liga Perdana itu tewas mengejut 2-3 di laman sendiri kepada Blackburn dan walaupun pendahulu liga, Manchester City turut gagal meraih mata apabila tewas kepada Sunderland, Ferguson masih kecewa dengan kehilangan mata itu.

United musim ini mengalami kekalahan 1-6 di laman sendiri kepada jirannya, City pada Oktober, disingkirkan kelab Liga Kejuaraan, Crystal Palace dalam Piala Liga serta gagal mara ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara apabila tewas mengejut di Basel.
Ferguson membayangkan kekalahan kepada Blackburn yang hadir pada hari lahirnya yang ke-70 sebagai satu malapetaka. Namun beliau berharap skuad kendaliannya bangkit sekali lagi dan boleh berasa lega dengan rekod baiknya di St James' Park.

United tidak pernah tewas di gelanggang itu sejak tewas 3-4 pada 2001 namun mereka pastinya mahu membaiki keputusan seri 1-1 di laman sendiri menentang Newcastle, November lalu.

Walaupun pasukannya berdepan masalah kecederaan pemain, Ferguson dijangka tidak berbelanja dalam tempoh perpindahan pemain bulan ini.
Pengurus United itu secara konsisten tidak berbelanja pada jendela perpindahan musim sejuk sejak beberapa tahun lalu dan tidak membuat sebarang penambahan pemain penting sejak mendapatkan Nemanja Vidic dan Patrice Evra pada 2006.

“Kami mungkin tidak membeli pemain bulan ini kerana pemain yang kami inginkan tidak dijual pada masa ini,” kata Ferguson.
“Hakikatnya, siapa yang mahu menjual pemain terbaik dimilikinya pada Januari? “Tak mungkin ia akan berlaku. Ada kontrak pemain berakhir pada musim panas tapi mereka pastinya tidak akan memperolah bayaran yang sama. Pastinya ia berkurangan.” - AFP

No comments:

Post a Comment